RANTAU PANJAN: “Saya masih ada masa untuk istikharah,” kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Katanya, beliau akan mengumumkan di saat akhir sama ada akan bertanding atau sebaliknya bagi jawatan Timbalan Presiden PKR dalam pemilihan parti.
Beliau berkata, sehingga kini beliau masih mempunyai masa selepas tempoh berkenaan selepas Pencalonan Pemilihan PKR 2025 dianjak kepada 8 Mei.
“Sebelum ini saya sudah mengadakan perbincangan dengan Datuk Seri Rafizi Ramli selama empat jam selain berjumpa Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim beberapa kali.
“Pada masa sama, saya turut mengadakan pertemuan untuk menyelesaikan perbincangan dengan negeri dan cabang.
“Apa yang saya boleh katakan proses perbincangan dan pertemuan itu sudah selesai.
“Saya orang lama dan merasakan lebih banyak kalah dari menang. Sebelum satu keputusan besar dibuat, saya bukan fikir soal menang atau kalah dalam parti, sebaliknya mahu melihat proses pemilihan berakhir dengan parti terus kuat dan mantap dan mampu menambah bilangan kerusi pada Pilihan Raya Umum (PRU) nanti.
“Perkara ini yang lebih memberi keutamaan kepada saya. Sekarang ini kita ada 31 kerusi dan kita mahu tambah lagi bilangan kerusi untuk mantapkan Pakatan Harapan (PH),” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang dan pangkalan haram di sini, hari ini.
Semalam media melaporkan Pencalonan Pemilihan PKR 2025 bagi peringkat Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pusat dan Wanita Pusat ditangguhkan ke 8 hingga 9 Mei ini.
Menurut notis pemakluman penangguhan pemilihan yang ditandatangani Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, pencalonan akan bermula pada 12 tengah hari 8 Mei hingga 11.59 malam 9 Mei.
Sementara itu ketika ditanya sama ada solat istikharah yang buat sebelum ini menunjukkan positif untuk bertanding, Saifuddin Nasution enggan mengulas.
“Tunggulah, saya akan umum nanti dan saya ada masa sehingga 11.59 pada 8 Mei nanti,” katanya. – Harian Metro