Negara

Waleed Khalid mangkat selepas 20 tahun koma

RIYADH: Putera Al-Waleed bin Khalid bin Talal Al Saud yang dikenali sebagai “Putera Tidur” disahkan mangkat pada usia 36 tahun selepas mengharungi tempoh koma selama dua dekad susulan kemalangan tragik yang menimpanya pada 2005.

Berita kemangkatan putera raja Arab Saudi pada Sabtu itu mencetuskan gelombang kesedihan di media sosial, dengan ribuan pengguna menyampaikan ucapan takziah dan doa buat keluarga diraja berkenaan.

Putera Khalid bin Talal, bapa kepada Al-Waleed, mengesahkan pemergian anakandanya itu menerusi hantaran di platform X (dahulunya Twitter).

“Wahai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhanmu dalam keadaan reda dan diredai,” tulisnya dalam hantaran penuh emosi.

“Dengan hati yang reda terhadap ketentuan Allah dan penuh kesedihan, kami mengumumkan kemangkatan anakanda kami tercinta, Putera Al-Waleed bin Khalid bin Talal bin Abdulaziz Al Saud. Semoga Allah merahmatinya,” tambahnya lagi.

Menurut Putera Khalid, solat jenazah akan diadakan hari ini, manakala majlis tahlil dan ziarah takziah akan berlangsung selama tiga hari – bermula hari ini hingga Selasa.

Al-Waleed dikenali ramai sebagai simbol ketabahan dan keimanan di Arab Saudi selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya ketika menuntut di sebuah kolej ketenteraan pada 2005.

Insiden itu menyebabkan beliau berada dalam keadaan koma sejak usia 16 tahun.

Meskipun pelbagai usaha perubatan intensif telah dijalankan, termasuk rawatan daripada pakar-pakar dari Amerika Syarikat dan Sepanyol, keadaannya kekal tidak berubah.

Namun begitu, keluarga diraja tidak pernah putus harapan.

Putera Khalid sering berkongsi gambar anakandanya di sisi katil sebagai usaha meyakinkan orang ramai bahawa Al-Waleed masih diberi perhatian penuh dan kasih sayang.

Pada tahun 2019, harapan kembali menyinar apabila Puteri Rima binti Talal memuat naik video yang menunjukkan Al-Waleed menggerakkan kepala dari kiri ke kanan.

“Yang Maha Penyayang… Al-Waleed bin Khalid menggerakkan kepalanya. Segala puji bagiMu, ya Tuhan,” tulisnya dalam kapsyen video berkenaan.

Nama Al-Waleed sekali lagi menjadi tular April lalu selepas satu lagi foto dikongsikan oleh Puteri Rima, yang turut meluahkan doa penuh kasih:

“Wahai kekandaku tercinta, Al-Waleed bin Khalid, 21 tahun dan kamu sentiasa hadir dalam hati kami serta doa orang yang menyayangimu. Ya Allah, sembuhkanlah hambaMu ini – hanya Engkau mengetahui kelemahannya, wahai Tuhan langit dan bumi.”

Beberapa bulan lalu, Putera Khalid memaklumkan perkembangan terkini apabila doktor mengesan bengkak pada kelenjar anakandanya, yang membawa kepada beberapa ujian lanjut.

Pada tahun 2020 pula, selepas 15 tahun dalam koma, satu detik mengharukan berlaku apabila Al-Waleed dilihat menggerakkan tangan – sekali lagi menyuntik harapan buat keluarga dan rakyat yang terus mendoakannya.

Sepanjang 20 tahun koma, Al-Waleed bukan sekadar dikenali sebagai “Putera Tidur” tetapi menjadi lambang kekuatan jiwa, ketabahan keluarga dan harapan rakyat Arab Saudi terhadap kuasa Tuhan dan keajaiban.

Pemergiannya kini menutup sebuah kisah panjang yang penuh dengan keimanan, cinta dan pengharapan – namun legasi ketabahannya akan terus hidup dalam ingatan rakyat negara itu. – Berita Harian

Related Posts