SINGAPURA: Dua pemimpin Pas dari Malaysia dipercayai cuba campur tangan dalam Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025) di Singapura.
Perkara tersebut disahkan oleh Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) dan Jabatan Pilihan Raya (ELD) Singapura dalam satu kenyataan bersama pada Khamis.
Kata kenyataan bersama itu, individu yang dikenal pasti tersebut ialah Bendahari Agung Pas, Datuk Iskandar Abdul Samad dan Ketua Pemuda Pas Selangor, Mohamed Sukri Omar.
Susulan itu, MHA dan ELD telah mengeluarkan arahan untuk menyekat hantaran tersebut di bawah Seksyen 61N Akta Pilihan Raya Parlimen (PEA).
Menurut laporan Berita Harian Singapura, kedua-duanya didapati memuat naik hantaran di Facebook yang memberi komen berkaitan politik Singapura.
Portal Harakah Daily pernah menerbitkan dua artikel pada 22 dan 23 April lalu, mengenai pandangan Iskandar berkenaan masyarakat Melayu di Singapura dan PRU2025.
Dalam pada itu, MHA dan ELD menegaskan, menjadi satu kesalahan bagi warga asing mempengaruhi GE Singapura.
“Warga asing tidak boleh mengarah, membiayai atau dalam apa cara sekali pun mempengaruhi GE Singapura.
“Adalah satu kesalahan di bawah PEA bagi warga asing untuk menyertai kegiatan pilihan raya atau menerbitkan pengiklanan pilihan raya dalam talian (OEA).
“Politik Singapura mestilah rakyat Singapura sahaja yang membuat keputusan,” kata kenyataan tersebut. – Sinar Harian