KUALA LUMPUR – Himpunan Rakyat Benci Rasuah 2.0 yang berlangsung berhampiran Dataran Merdeka pada Sabtu bertukar tegang apabila polis cuba mententeramkan seorang individu yang dipercayai bertindak membakar suar berwarna jingga.
Tindakan polis yang cuba membawa lelaki tersebut keluar dari kawasan perhimpunan telah mencetuskan kemarahan sebilangan besar peserta perhimpunan yang terdiri daripada kumpulan mahasiswa.
Individu terbabit cuba meronta untuk melepaskan diri, sebelum disokong oleh beberapa peserta lain yang tampil membantu.
Ekoran kejadian itu, pemuda berkenaan mendakwa bajunya telah ditarik dan terkoyak dalam insiden tersebut.
Insiden itu turut mendorong kumpulan mahasiswa untuk menuntut agar anggota polis yang cuba menahan pemuda tersebut tampil bertanggungjawab.
Mereka mendesak supaya pihak polis mendedahkan nama dan nombor badan anggota terbabit, dan enggan bersurai selagi perkara itu tidak dipenuhi.
Polis akhirnya akur dan menyatakan nama serta nombor badan anggota berkenaan.
Perhimpunan tersebut berakhir lewat petang sekitar jam 6 petang. – Sinar Harian