Mahkamah dan Jenayah

Kes bunuh dua beranak: Lelaki Bangladesh antara dua lelaki direman tujuh hari

BUKIT MERTAJAM: Dua lelaki termasuk seorang warga Bangladesh direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan kes pembunuhan seorang wanita dan anak angkatnya di Kampung Sekolah, Juru dalam kejadian yang berlaku pada Sabtu lalu.

Perintah reman terhadap kedua-dua suspek dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Bukit Mertajam pada Isnin bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Tempoh reman bermula pada Isnin dan akan berakhir pada 26 Oktober ini.

Suspek terdiri daripada seorang lelaki tempatan berusia 45 tahun dan seorang warga asing berumur 46 tahun.

Kedua-duanya ditahan di dua lokasi berasingan pada Ahad selepas pihak polis menjalankan risikan dan menerima maklumat daripada orang awam.

Difahamkan, hasil siasatan awal mendapati kedua-dua suspek mengenali mangsa wanita yang berusia 51 tahun itu.

Polis turut merampas telefon bimbit milik suspek bagi membantu siasatan, selain siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti suspek utama serta motif di sebalik pembunuhan tragis yang meragut nyawa dua beranak tersebut.

Pada Sabtu, seorang peniaga kuih, Sariya Che Hin, dan anak angkatnya, Nur Afrina Alisha Abdul Rahim, 11, ditemui maut dipercayai dibunuh. Mayat mereka ditemui oleh suami mangsa kira-kira jam 7.30 malam di rumah sewa mereka.


Difahamkan, mayat wanita itu ditemukan di bahagian dapur tingkat bawah rumah berkenaan dalam keadaan menyayat hati dengan kesan kelar pada leher sehingga hampir putus, manakala anaknya ditemui meniarap berlumuran darah di tingkat atas rumah. – Sinar Harian

Related Posts