KUALA TERENGGANU: Seorang peniaga kosmetik dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 1.015 kilogram (kg) pada 28 April lalu.
Tertuduh, Abdul Rahman Mohamad Hussain, 36, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Iffah Nabihah Mohd. Ishak. Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan kerana kes tersebut berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didapati mengedar dadah berbahaya yang disyaki jenis methamphetamine seberat 1.015 kg di sebuah kedai di Pusat Niaga Paya Keladi di sini, pada pukul 8.40 malam, 28 April lalu.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 39(B)(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta yang sama.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ely Nazihah binti Ahmad Yunus dan Abdul Rahman tidak diwakili peguam. Iffah Nabihah menetapkan 21 Julai ini untuk sebutan semula kes. – Utusan