Mahkamah dan Jenayah Negeri

Hanya tinggal pakaian di badan, persiapan kahwin anak musnah terbakar

KUALA TERENGGANU: Semua persiapan perkahwinan termasuk wang hantaran, pakaian pengantin, gelang dan cincin dianggarkan hampir RM10,000 musnah dalam kebakaran rumah di Kampung Tualang, Manir, di sini, jam 12.45 tengahari tadi.

Rohana Omar, 51, berkata, persiapan perkahwinan anak ketiganya, Nurayuni Mohd Azmi, 23, yang akan diadakan pada 3 Mei ini dilakukan sejak sebulan lalu.

“Semua persiapan sudah dibuat kami hanya menunggu harinya sahaja.

“Tetapi kini semuanya sudah musnah. Malah kini kami hanya tinggal sehelai sepinggang apabila semuanya tidak dapat diselamatkan. Hanya pakaian di tubuh sahaja yang tinggal,” katanya ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

Menurut Rohana, selain persiapan perkahwinan, barang kemas bernilai kira RM50,000 serta wang tunai sebanyak RM3,000 miliknya turut hangus.

Rohana menyedari kejadian ketika dalam perjalanan pulang ke rumah dari tempat kerjanya apabila ternampak asap hitam dan terdetik ia daripada kawasan rumahnya.

“Naluri kuat mengatakan rumah saya terbakar. Sebaik tiba, saya panik apabila mendapati hampir keseluruhan rumah sudah terbakar.

“Suami (Mohd Azmi Mat Zin, 60) cuba menyelamatkan kenderaan di halaman rumah namun mengalami kecederaan melecur di kepala akibat terkena bahang api,” katanya yang memaklumkan rumah itu dibina sendiri olehnya bersama suami 30 tahun lalu.

Mengenai majlis perkahwinan, Rohana akan berbincang dengan keluarga kedua belah pihak sama ada meneruskan atau menangguhkannya.

“Kalau buat mungkin ala kadar sahaja kerana apa yang penting adalah majlis akad nikah pada 2 Mei.

“Semalam baharu buat majlis doa selamat, tidak sangka hari ini rumah terbakar. Saya reda dan terima dengan tenang kerana semuanya adalah ketentuan Allah,” katanya. Harian Metro

Related Posts