KUALA LUMPUR: Pasangan panda gergasi, Fu Wa dan Feng Yi, dijangka dihantar pulang ke China secara rasmi menerusi Majlis Penghantaran yang berlangsung di Animal Hotel, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini.
Fu Wa dan Feng Yi telah dipinjamkan kepada Malaysia sejak tahun 2014 di bawah program pemuliharaan panda gergasi yang dimeterai antara Malaysia dan China, bersempena ulang tahun ke-40 hubungan dua hala kedua negara.
Kehadiran panda ini bukan sahaja memperkukuh hubungan diplomatik, malah turut menyumbang kepada peningkatan kesedaran awam tentang pemeliharaan spesies terancam.
Terdahulu, ketiga-tiga anak pasangan panda ini telah dihantar pulang ke China lebih awal, iaitu Nuan Nuan pada 14 November 2017, diikuti Yi Yi dan Sheng Yi pada 29 Ogos 2023.
Majlis penghantaran ini menjadi detik bersejarah yang penting bagi konservasi dan kerjasama antara Malaysia dan China.
Majlis itu dihadiri oleh Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Datuk Dr. Ching Thoo Kim, yang mewakili kerajaan.
Turut hadir ialah Ketua Pengarah Jabatan PERHILITAN, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim, serta Timbalan Ketua Setiausaha (Sumber Asli) Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Norsham Abdul Latip. – TV3