Negara

JPJ tawar diskaun saman 50 peratus

SUNGAI PETANI: Pengguna jalan raya diberi tempoh dua bulan untuk menjelaskan saman tertunggak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dengan diskaun sebanyak 50 peratus bermula 1 November hingga 30 Disember ini.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli, berkata diskaun berkenaan terpakai untuk semua jenis saman kecuali yang tidak boleh dikompaun.

Beliau berkata, orang ramai yang masih mempunyai saman tertunggak diminta mengambil peluang ditawarkan itu, dengan melakukan pembayaran di kaunter JPJ atau saluran pembayaran disediakan.

“Kita menggesa semua rakyat mengambil peluang yang diberi dalam tempoh dua bulan ini bagi menjelaskan saman masing-masing kerana kita akan memulakan diskaun 50 peratus mulai 1 November hingga 30 Disember 2025.

“Ia untuk semua jenis saman, bukan untuk saman AwAS (Saman Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik), Notis Temu Siasat (114) dan Notis Saman Tampal/JPJ(P)23 (115) yang kita gerakkan dari awal tahun lepas, tapi untuk semua jenis saman kecuali saman yang tidak boleh dikompaun iaitu yang perlu dibawa ke mahkamah.

“Orang ramai diharap dapat berbuat demikian kerana mulai 1 Januari 2026 tiada lagi diskaun dikeluarkan kepada umum termasuklah saman JPJ dan saman PDRM,” katanya pada Sidang Media Khas Op Gempur di sini, malam tadi.

Sementara itu, Aedy Fadly berkata JPJ melaksanakan Op Perang Lebih Muatan bermula 14 Oktober hingga 31 Disember ini bagi membanteras isu kenderaan perdagangan yang membawa muatan melebihi had dibenarkan.

Beliau berkata, setakat hari ini, 27,300 kenderaan telah diperiksa dan daripada jumlah itu 1,017 dikesan membawa barangan melebihi muatan.

“Sebanyak 1,696 pemandu dan pemilik kenderaan disaman mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 (P22), Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (APAD), dan Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987, manakala sebanyak 96 lori turut disita.

“Kebanyakan kenderaan ini kita sasarkan yang bawa muatan seperti batu, kerikil, besi dan sebagainya. Itu sasaran kita sebab kita ada ‘hotspot’ seperti kuari atau kilang besi, tempat kenderaan ini keluar,” katanya.

Aedy Fadly berkata, JPJ sentiasa komited untuk mempergiatkan penguatkuasaan bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya, infrastruktur awam terpelihara serta tahap pematuhan undang-undang dalam industri pengangkutan terus dipertingkatkan.
– Berita Harian

Related Posts