SEPANG: Aktivis kapal misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) Marinette yang sedang belayar ke Gaza telah dipintas oleh pasukan pertahanan Israel sebentar tadi.
Menerusi siaran langsung sistem penjejak (tracker) Sumud Nusantara, kru kapal dihampiri tentera zionis itu sekitar jam 3.30 petang waktu Malaysia sebelum terputus hubungan.
Terdahulu, aktivis dilihat mula memakai jaket keselamatan sambil memaklumkan kehadiran sebuah kapal perang.
Marinette pada Jumaat dilaporkan dalam keadaan memecut belayar dengan kelajuan enam knot menuju ke Gaza.
Flotila itu merupakan satu-satunya kapal yang masih belayar dan kini berada di zon merah R2 yang menandakan jarak mereka ke pesisiran pantai Gaza kini berbaki kira-kira 60 batu nautika. – Sinar Harian