PUTRAJAYA: Setiausaha Agung Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail masih belum membuat sebarang ketetapan sama ada kembali bertarung dengan Datuk Seri Rafizi Ramli, pada gelanggang pemilihan PKR bagi penggal ini untuk jawatan Timbalan Presiden parti.
Walaupun pihak tertentu menganggap situasi sekarang adalah detik terbaik untuk Saifuddin Nasution sekali lagi mencabar Rafizi dalam pentas demokrasi PKR, namun Menteri Dalam Negeri itu melihat ada beberapa proses perlu dititikberatkan sebelum membuat sebarang ketetapan.
“Saya juga mengikuti beberapa pandangan yang sebut bahawa sudah sampai masanya saya buat pengumuman, namun saya masih belum membuat apa-apa ketetapan ke arah itu.
“Kalau saya (tetapkan) saya panggil sidang media….jangan letakkan perkataan itu di mulut saya (soal mempertimbangkan bertanding)…masih ada dua tiga proses lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media, selepas majlis perhimpunan bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN), di sini, hari ini. – Berita Harian