Politik

Khalid tidak pernah jadi ahli PKR

PETALING JAYA:  Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini menafikan dakwaan bahawa Ketua Polis Negara (KPN) ke-15, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, pernah menjadi ahli atau memegang sebarang jawatan dalam parti itu seperti yang disiarkan dalam satu hantaran media sosial oleh sebuah akhbar tempatan semalam.

Setiausaha Agung PKR, Dr. Fuziah Salleh berkata, penyebaran maklumat tidak tepat mengaitkan Mohd Khalid dengan PKR boleh menjejaskan imej dan kredibiliti beliau sebagai Ketua Polis Negara

Katanya, situasi itu juga mencetuskan persepsi negatif terhadap PKR selaku parti yang menerajui kerajaan ketika ini.

,“PKR kesal atas kesilapan maklumat profil Ketua Polis Negara ke-15 Datuk Seri Mohd Khalid Ismail di dalam media sosial itu yang memaparkan beliau pernah menjadi Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR dan pernah memegang jawatan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Kedah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menegaskan bahawa maklumat tersebut adalah tidak benar dan menggesa agar satu siasatan dalaman dijalankan oleh pihak akhbar terbabit untuk memastikan kesilapan seperti itu tidak berulang.

Terdahulu, Mohd Khalid, 60, dilantik sebagai KPN ke-15 menggantikan Tan Sri Razarudin Husain berkuat kuasa semalam. – Metro Harian

Related Posts