KUALA LUMPUR: Datuk Seri Rafizi Ramli yang gagal mempertahankan jawatan Timbalan Presiden PKR memberi bayangan tidak akan meninggalkan parti itu selepas tewas dalam saingan jawatan nombor dua parti pada pemilihan berakhir semalam.
Akui kecewa dengan apa yang menimpa dirinya, Menteri Ekonomi itu menegaskan prinsip dan cita-citanya untuk meneruskan idealisme reformasi akan diteruskan selepas ini.
“Saya sangat tersentuh apabila beberapa ahli muda parti menitiskan air mata semasa saya meninggalkan dewan, sambil merayu saya tidak meninggalkan PKR walaupun dilayan sedemikian rupa.
“Saya tidak berniat untuk berputus asa dan lari dari cita-cita idealisme kita selama ini, iaitu Malaysia berhak mendapat sesuatu yang lebih baik, cita-cita itulah yang menjerumuskan saya ke dalam aktivisme dan politik dahulu. Setiap satu masalah ada pelbagai penyelesaiannya.
“Setiap satu rintangan ada banyak jalan pintasnya,” katanya dalam kenyataan disiarkan di Facebook beliau hari ini.
Ini bukan kekalahan pertama beliau dalam saingan perebutan jawatan Timbalan Presiden PKR. Dalam Pemilihan PKR 2018, Ahli Parlimen Pandan itu juga tewas kepada bekas Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, yang kini sudah menyertai BERSATU.
Rafizi yang sebelum ini menyatakan kesediaan untuk meletak jawatan Menteri Ekonomi turut percaya, untuk memperjuangkan idealismenya itu, tidak memerlukan seseorang itu berada ditampuk kuasa.
“Jujurnya, saya tidak langsung kecewa. Malah saya rasa agak lega kerana kini saya boleh kembali menjadi orang biasa, diselamatkan dari sandiwara kuasa dan politik kelas tinggi. Saya menyertai PKR kerana idealisme ini (reformasi) dan manfaatnya kepada rakyat. Saya tidak menyertai PKR demi jawatan atau kedudukan menteri, apatah lagi untuk membina kekayaan.
“Saya faham nasib (Perdana Menteri, Datuk Seri) Anwar Ibrahim berkait rapat dengan PKR, namun saya percaya keabsahan PKR di mata rakyat melangkaui Anwar atau mana-mana individu. Pemimpin datang dan pergi, tetapi idealisme tetap kekal.
“Saya tidak pernah percaya bahawa memegang jawatan dalam kerajaan adalah satu-satunya cara untuk mencapai matlamat itu,” katanya.
Rafizi tewas kepada Nurul Izzah Anwar yang juga penyandang Naib Presiden. – Berita Harian