PETALING JAYA: Ahli perniagaan, Datuk Seri Muhammad Adlan Berhan, yang juga menantu kepada bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dipercayai berada di Asia Barat.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, berkata beliau turut mendengar khabar angin, Muhammad Adlan berada di Asia Barat.
Pihaknya tidak dapat mendedahkan negara terbabit namun negara itu tidak mempunyai perjanjian ekstradisi dengan Malaysia.
“Usaha mengesan beliau masih dijalankan dan kita (SPRM) sudah membuat satu tindakan semalam dan berharap Kementerian Dalam Negeri akan bersetuju permohonan membatalkan pasportnya.
“Kita juga masih berbincang dengan negara terbabit bagaimana cara untuk membawanya pulang semula ke negara ini,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara SPRM dan Angkatan Koperasi Malaysia (ANGKASA), di Wisma Ungku A Aziz, di sini, hari ini.
Media sebelum ini, melaporkan SPRM sedang mengesan dua lelaki tempatan bagi membantu siasatan kes penyelewengan projek pendaftaran, pengambilan dan penyimpanan biometrik pekerja asing bagi sebuah kementerian.
Mereka ialah Muhammad Adlan dan peguam, Mansoor Saat dengan kedua-duanya dikenal pasti sudah meninggalkan Malaysia, masing-masing pada 17 Mei dan 21 Mei 2023.
Pada Oktober 2023, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dilapor mengesahkan permohonan notis merah ke atas Muhammad Adlan dan Mansoor sudah diserahkan kepada Polis Antarabangsa (Interpol).
Tindakan menyenaraikan nama mereka di dalam notis merah itu dilakukan selepas dimohon SPRM untuk mengetahui keberadaan kedua-dua individu itu. – Berita Harian