Oleh MUKHATAR A. RAHMAN
DUNGUN: Seramai 50 orang Ketua Angkatan
Muda Keadilan (AMK) Parti Keadilan Rakyat (PKR) seluruh negara tamat latihan Akademi Keadilan Rakyat (AKAR) Siri 1/2025 di Kem Ghaffar Baba, Ulu Kelang, Selangor pada 4 hingga 6 Julai lalu.
AKAR merupakan sebuah akademi yang ditubuhkan untuk melatih kepimpinan sedia ada serta anggota-anggota baharu AMK yang diluncurkan di Perak pada Mac 2024.
Mereka berkampung di Kem Ghaffar Baba, Ulu Kelang, Selangor, selama tiga hari dan mengikuti pelbagai sesi latihan serta penerapan nilai-nilai dan aspirasi parti.

AKAR akan terus bergerak dari negeri ke negeri, untuk bertemu dan melatih lebih ramai ahli AMK yang bakal menjadi pemimpin masa depan PKR.
Ketua AMK Cabang Dungun, Syafiqah Nabihah Shamsul Bahri berkata, tiga orang Ketua AMK Terengganu yang terpilih menyertai AKAR Siri 1/2025 terdiri daripada Ketua AMK Cabang Besut, Norhairey Che Pauzi, Ketua AMK Cabang Marang, Amira Alias dan Ketua AMK Cabang Dungun.
Menurutnya, kehadiran dan komitmen AMK Terengganu dalam program ini membuktikan anak muda Terengganu bersedia memimpin perubahan dan mengangkat agenda reformasi ke peringkat yang lebih tinggi.
“Dengan modul latihan yang padat merangkumi kepribadian, kefahaman politik, kebudayaan serta simulasi kepimpinan dan para peserta bukan sahaja dibentuk sebagai aktivis parti, tetapi juga sebagai pemimpin rakyat yang berprinsip dan berani menyuarakan kebenaran.
“Semoga segala ilmu dan pengalaman sepanjang latihan ini menjadi suluh perjuangan. Perubahan tidak datang dengan selesa, ia hadir bersama keberanian dan tekad,” kata Syafiqah Nabihah. – Suara Timur