Home PolitikBN berjaya bentuk kerajaan, menang 48 kerusi DUN – SPR

BN berjaya bentuk kerajaan, menang 48 kerusi DUN – SPR

oleh suara timur

ISKANDAR PUTERI: Barisan Nasional (BN) berjaya mengekalkan status quo di Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR), Datuk Seri Ramlan Harun berkata, BN memenangi 48 kerusi daripada 56 kerusi DUN yang dipertandingkan pada pilihan raya kali ini.

Beliau berkata, lapan kerusi lagi berpihak kepada Pakatan Harapan (PH).

“Berikut adalah keputusan bagi 56 kerusi yang telah ditandingi oleh calon-calon parti politik serta calon bebas selepas pengundian semalam.

banner
CARTA perbandingan kerusi DUN Johor pada PRN Johor pada 2022 dan 2026.

“Sehingga 12.50 tengah malam tadi, keputusan penuh adalah seperti berikut, yang pertama BN 48 kerusi dan kedua, PH dengan lapan kerusi,” katanya ketika sidang media di Bilik Gerakan Utama Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di Bangunan Sultan Ismail di sini, hari ini.

Beliau berkata, pada PRN Johor Ke-16 itu, seramai 1,874,918 atau 68.73 peratus telah keluar mengundi.

“Jumlah tersebut meliputi jumlah pengundi awal, pengundi pos dan pengundi biasa yang telah mengundi,” jelasnya.

Pada masa sama, beliau berkata, SPR berpuas hati dengan proses pengundian yang berlangsung semalam dan pengundi berdaftar dapat menunaikan hak serta tanggungjawab mereka.

“Tidak berlaku sebarang perkara yang tidak diingini yang boleh menjejaskan proses pilihan raya,’ katanya.

Berdasarkan keputusan penuh itu, Perikatan Nasional (PN), Parti Bersama Malaysia (BERSAMA), Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Parti Orang Asli Malaysia (ASLI) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) tidak memenangi sebarang kerusi ditandingi mereka.

Enam calon bebas juga gagal memperoleh sebarang kemenangan.

BN berjaya merampas lapan kerusi milik penyandang parti lain termasuk dari PH iaitu kerusi DUN Johor Jaya, Perling, Bukit Batu, Jementah dan Tangkak, manakala kerusi milik penyandang dari PN iaitu Bukit Kepong, Endau dan Maharani. – Berita Harian

Tinggalkan komen