Politik

Zahid mohon maaf guna perumpamaan malaikat

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini memohon maaf atas keterlanjuran kata-katanya selepas mengaitkan malaikat dalam konteks tekanan dihadapi beliau sewaktu memegang amanah sebagai Presiden UMNO.

Jelas beliau, kenyataan itu lahir dalam suasana penuh emosi, sebagai usaha menggambarkan betapa mencabarnya ujian sebagai pemimpin.

Lantas beliau akui, perbandingan yang dibuat mencetuskan kekeliruan dan boleh disalah tafsir.

“Sebagai seorang Muslim dan pemimpin parti yang menjunjung tinggi nilai dan prinsip Islam serta tradisi keilmuan, saya dengan rendah hati memohon ampun pada Allah SWT dan meminta maaf pada semua atas kekhilafan dalam keterlanjuran lafaz kata-kata ini.

“Saya menerima setiap teguran dengan hati terbuka. Saya percaya, nilai seorang pemimpin bukan hanya terletak pada ketepatan tutur katanya, tetapi juga pada keikhlasannya untuk menginsafi, memperbaiki diri dan belajar daripada kesilapan.

“Mudah-mudahan Allah SWT membimbing setiap langkah dan tutur kita semua agar sentiasa berada dalam adab yang mulia, terpelihara akidah dan berpaut teguh pada kebenaran yang hakiki,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau petang tadi.

Terdahulu, tular ucapan Ahmad Zahid di media sosial yang berkata ‘Jika Allah SWT memerintahkan malaikat menjadi Presiden ketika itu, mungkin dia pun lari malam’.

Ucapan itu dibuat ketika merasmikan mesyuarat UMNO Sri Gading. – Berita Harian

Related Posts