MARANG: Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang membayangkan tidak akan memegang jawatan sebagai pengerusi Perikatan Nasional (PN) bagi menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Katanya, PAS pusat akan mengadakan mesyuarat, termasuk pemilihan pengerusi PN pada minggu depan.
“Kita serahkan kepada PAS Pusat untuk memilih calon, tetapi tidak semestinya saya…Kita bersedia membantu sesiapa sahaja yang dipilih jawatankuasa tertinggi di peringkat pusat,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan Kuliah Dhuha di Masjid Rusila, di sini, hari ini.
Bagaimanapun, Abdul Hadi tidak memaklumkan tarikh mesyuarat, terutama pemilihan pengerusi PN bagi menggantikan Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh yang melepaskan jawatan akhir bulan lalu.
Ketika diminta punca penangguhan mesyuarat, Abdul Hadi berkata, PN sudah ketiadaan Setiausaha Agung selepas Datuk Seri Mohamed Azmin Ali turut meletakkan jawatan.
“Dia orang (jawatankuasa PAS Pusat) terlalu sangat hendak bergantung kepada saya, tapi tidak apa lah, saya serahkan kepada pusat untuk memilih calon Pengerusi PN,” katanya berseloroh.
Ketika mengulas berkenaan tawaran jawatan EXCO kepada Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) PAS oleh Menteri Besar Perlis, Mohd Abu Bakar Hamzah, Abdul Hadi berkata, parti sudah membuat keputusan untuk tidak membenarkan wakil rakyat menerima tawaran itu.
Katanya, pendirian PAS untuk tidak menyertai pentadbiran kerajaan Perlis sudah dinyatakan secara jelas dan diputuskan jawatankuasa tertinggi parti.
“PAS menganggap satu pengkhianatan menjatuhkan kerajaan pimpinan bekas Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli,” katanya. – Metro
