Home PolitikUMNO buka pintu terima bekas ahli

UMNO buka pintu terima bekas ahli

oleh suara timur

KUALA LUMPUR: UMNO menubuhkan Jawatankuasa Penyatuan Rumah Bangsa bagi menerima kemasukan atau penyertaan semula mana-mana pihak baik secara individu atau secara en blok.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pihaknya sentiasa terbuka untuk menerima mana-mana pihak bagi menyambut kembali termasuk mereka pernah meninggalkan UMNO.

Ahmad Zahid berkata, UMNO adalah rumah buat semua bertaut kembali.

“Saat ada yang hilang arah, saat ada yang semakin rebah, kembalilah, kembalilah. Bak kata pepatah, sesat di hujung jalan, kembali ke pangkal jalan.

“Untuk itu, pintu Rumah Bangsa ini sentiasa terbuka luas. Di sini kita dilahirkan, di sini kita dibesarkan. Di sini jugalah kita mengadun erti perjuangan. 

banner

“Justeru, bagi menyambut kembali kepulangan saudara-saudara kita, adik-beradik kita, ahli keluarga kita, sebuah Jawatankuasa Penyatuan Rumah Bangsa akan ditubuhkan bagi menerima kemasukan atau penyertaan semula mana-mana pihak baik secara individu atau secara en bloc ke Rumah Bangsa ini,” katanya dalam Ucapan Dasar Presiden UMNO di sini hari ini.

Ahmad Zahid berkata, UMNO perlu bersedia mengadaptasi dinamika politik dan menerima perkara baharu di luar norma kebiasaan bagi menggalas amanah kenegaraan dan realiti politik semasa.

Katanya, tanggungjawab UMNO hari ini jauh lebih besar kerana parti itu adalah Rumah Bangsa iaitu tempat untuk menyatukan kembali orang-orang Melayu. 

“Bukan dengan retorik amarah, bukan dengan dendam sejarah, tetapi dengan haluan yang jelas dan jiwa yang besar.

“Gagasan Payung Besar orang Melayu pernah cuba dibina tanpa UMNO. Tetapi sejarah telah membuktikan, ia tidak mendapat sambutan. Payung itu rebah kerana tidak berpaut kepada rumah asalnya. Kenapa perlu kepada payung, andai rumah sudah tersergam indah,” soalnya.

Katanya, UMNO pernah melahirkan pelbagai parti dan gerakan politik Melayu antaranya Pas, Semangat 46, PKR, Bersatu, Pejuang, Warisan dan GRS.

“Ada yang lahir dari konflik dan kekecewaan, ada yang muncul akibat perbezaan hala tuju dan wadah yang tidak selaras,” katanya. – Utusan

Tinggalkan komen