PETALING JAYA: ‘Sayang saya pada agama,bangsa dan tanah air ini tiada nilainya’.
Demikian luahan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh di laman Facebooknya semalam.
Luahan tersebut dipercayai mempunyai kaitan dengan teguran Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semalam berhubung pertelagahan antara Muhammad Akmal dan pemimpin Pemuda DAP.
Jelas Ahli Dewan Undangan Negeri Merlimau itu, beliau tiada apa-apa perkara mampu diperkatakan lagi.
“Jika itulah yang dianggap dan diperkatakan akhirnya. Saya tiada apa-apa yang mampu untuk diperkatakan lagi. Terima kasih,”tulisnya pada hantaran terbabit.
Semalam, Ahmad Zahid menggesa isu berkenaan diserahkan kepada pihak berkuasa, manakala hal berkaitan politik pula perlu diselesaikan menerusi saluran parti.
Bagaimanapun Timbalan Perdana Menteri itu tidak menyebut secara khusus nama Muhamad Akmal atau pemimpin Pemuda DAP.
Sebaliknya kata beliau, semua kepimpinan parti telah membuat keputusan dan semua pihak wajar mematuhinya demi menjaga keharmonian dalam kerajaan. – Kosmo