Sukan

SESMA OB juara Kejuaraan Liga Ragbi Terengganu 2025

KUALA NERUS: Pasukan Sekolah Menengah Sains Mahmud (SESMA OB) muncul juara Kejuaraan Liga Ragbi Terengganu 2025 di Stadium Ragbi Tengku Muhammad Ismail di sini, semalam.

Pada aksi final, SESMA OB yang turun untuk menamatkan kempen musim ini dengan misi mempertahankan tangga kedua kedudukan liga  mengalahkan pasukan pilihan, Marang Rugby dengan keputusan 24-14 dalam pertarungan sengit itu.

Percaturan taktikal oleh Mohd Nazri Mohd Ramli selaku Ketua Jurulatih SESMA OB musim ini berjaya memanfaatkan pengalaman besar bekas kapten pasukan kebangsaan, Mohamad Nasharuddin Ismail untuk mendominasi kutipan mata perlawanan akhir ini melalui 4 tendangan penalti dan 1 tendangan conversion sekaligus mencipta jurang untuk menafikan Marang Rugby sehingga tamat permainan.

Kemenangan ini juga sekaligus mencipta kejutan berganda buat penganjuran edisi kali ini di mana berjaya merampas kejuaraan daripada Kemaman Rugby selaku pendahulu liga untuk berkongsi mata namun jurang perbezaan jumlah jaringan sepanjang kempen musim ini menjadi kelebihan buat SESMA OB untuk dinobatkan selaku juara.

AKSI Nasharuddin Ismail (jersi hijau – tiga dari kanan) yang membantu pasukan SESMA OB muncul juara setelah mengalahkan Marang Rugby di Stadium Ragbi Tengku Muhammad Ismail, Komplek Sukan Negeri Terengganu, Kuala Nerus, semalam.

Menambah duka buat Marang Rugby yang terpaksa mengakhir kempen musim ini dari tangga ke-3 semasa kedudukan untuk turun 1 tangga setelah dirampas oleh Universiti Malaysia Terengganu(UMT) setelah menewaskan Royal Malaysia Police Terengganu (RMP Terengganu) pada perlawanan akhir liga yang berkesudahan 36-07.

Kredit juga seharusnya diberikan kepada pasukan RMP Terengganu yang mempertaruhkan muka-muka baru dalam kalangan anggota polis yang berkhidmat di dalam negeri ini di mana mempamerkan mutu permainan yang kian meningkat sekaligus menjadikan pentas terbaik penganjuran liga musim ini bagi persiapan pasukan ke saingan Piala Ketua Polis Negara pada tahun hadapan.

AKSI perlawanan akhir Liga Ragbi Terengganu 2025 menyaksikan SESMA OB(jersi hijau) bertemu Marang Rugby berkeputusan 24-14 di Stadium Ragbi Tengku Muhammad Ismail, Komplek Sukan Negeri Terengganu, Kuala Nerus, semalam.

Menambah menarik bagi aksi kempen musim ini juga diberi penghormatan  untuk disampaikan hadiah berupa piala iringan kepada penjaring terbanyak yang diraih oleh Mohamad Nasharuddin Ismail dari pasukan SESMA OB juga rakan sepasukan Muhammad Haikal Ibrahim turut dinobatkan selaku pemain ‘Backline Terbaik’.

Sementara itu, wakil dari pasukan Kemaman Rugby selaku naib juara musim ini, Mohd Harith Asyraff Rosid diumumkan sebagai pemain ‘Forward Terbaik’ untuk edisi penganjuran kali ini.

Penyampaian hadiah telah disempurnakan sendiri oleh Presiden Persatuan Ragbi Negeri Terengganu(PRNT), Amir Amri Mohammad.

Liga Ragbi Terengganu 2025 itu telah berlangsung selama 5 minggu bermula pada Mei lalu.

Sementara itu, Nasharuddin ketika ditemui berkata,  pemain SESMA OB tidak menyangka muncul juara Kejuaraan Liga Ragbi Terengganu pada tahun ini melalui penentuan jumlah perbezaan kutipan mata melalui jumlah jaringan yang diperolehi perlawanan sebelum ini.

Ini kerana, katanya, pemain pasukan itu hanya memfokuskan untuk meraih sebanyak mungkin kemenangan dalam setiap perlawanan walaupun hanya tewas dalam satu perlawanan.

“Melihat pada persiapan pasukan SESMA OB untuk musim ini, walaupun hadir selaku finalis musim lalu, kami sebenarnya tidak menyasarkan untuk muncul juara malah apatah lagi kami mencatatkan satu kekalahan sepanjang musim ini berbanding Kemaman Rugby dengan rekod tanpa kalah.

“Namun untuk perlawanan akhir ini, hendak atau tidak kami perlu bermatian mempertahankan tangga kedudukan di tempat kedua sekurang-kurangnya dengan jumlah mata yang telah dikutip,” ujarnya.

Related Posts