PETALING JAYA: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengesahkan Kedah FA dan Armed Forces FC memilih untuk tidak menyertai saingan Piala Malaysia 2025–2026, sekali gus membuka ruang kepada Kelantan Red Warrior FC mengisi slot kejohanan berprestij itu.
MFL dalam kenyataannya memaklumkan, keputusan tersebut dibuat selaras dengan peraturan penyertaan, dengan Kelantan Red Warrior FC diberi tempat meskipun berada di kedudukan ketujuh Liga A1 Semi-Pro, susulan kekosongan yang ditinggalkan dua kelab berkenaan.
Sebanyak 16 kelab akan berentap bermula pusingan 16 terbaik, termasuk tiga wakil Liga A1 Semi-Pro yang turut diisi Perak FA dan UM-Damansara United, iaitu tiga pasukan terbaik pusingan pertama liga berkenaan.
Bagaimanapun, Johor Darul Ta’zim (JDT) II dan Selangor FC II tidak layak beraksi walaupun berada dalam kelompok teratas Liga A1 Semi-Pro, memandangkan peraturan melarang pasukan simpanan menyertai kejohanan sama dengan kelab induk.
Bagi proses undian, lapan pasukan teratas Liga Super iaitu Johor Darul Ta’zim(JDT), Kuching City FC, Selangor FC, Kuala Lumpur City FC, Terengganu FC, Negeri Sembilan FC, DPMM FC dan Sabah FC akan berstatus seeded dan layak automatik ke pusingan 16.
Sementara itu, lima pasukan Liga Super di kedudukan kesembilan hingga ke-13 iaitu Imigresen FC, Kelantan The Real Warriors FC, Penang FC, Melaka FC dan PDRM FC akan diundi bersama tiga kelab Liga A1 Semi-Pro untuk menentukan lawan pasukan seeded menerusi undian terbuka.
Mengikut perancangan awal, pusingan 16 Piala Malaysia dijadual bermula 17 Januari 2026, tertakluk kepada perubahan, dengan perlawanan akhir dijangka berlangsung pada Mei.
Undian Piala Malaysia 2025–2026 akan berlangsung pada 2 Januari ini dengan pasukan yang tewas atau gagal mara ke suku akhir akan meneruskan kempen dalam MFL Challenge Cup 2025–2026. – Utusan
