Home SukanPiala Agong: Penalti Akhir Nasharuddin Pastikan Terengganu Tundukkan Kelantan 45-43

Piala Agong: Penalti Akhir Nasharuddin Pastikan Terengganu Tundukkan Kelantan 45-43

oleh suara timur

KUALA TERENGGANU: Terengganu bangkit daripada ketinggalan untuk melakar kemenangan dramatik 45-43 ke atas Kelantan dalam aksi kedua Kumpulan Kejuaraan Ragbi Piala Agong edisi ke-42 di Stadium Ragbi Tengku Muhammad Ismail, Kompleks Sukan Negeri, di sini, kelmarin.

Sebelum perlawanan bermula, kedua-dua pasukan bersama penyokong bertafakur selama seminit sebagai tanda penghormatan kepada Allahyarham Mohamad Khairul Abdillah Ramli atau lebih dikenali sebagai Myko yang meninggal dunia pada 10 Mei lalu, sehari selepas beraksi dalam perlawanan pembukaan kejohanan.

Kelantan memulakan aksi dengan garang apabila bekas pemain kebangsaan, Mohamad Shah Izwan Nordin melakukan try seawal minit pertama sebelum Muhammad Nafis Mohd Salleh menyempurnakan conversion untuk memberikan kelebihan 7-0 kepada pelawat.

AKSI kelam kabut untuk Terengganu membuat jatuhan try melepasi jentera pertahanan pasukan pelawat pada saingan peringkat kumpulan minggu kedua kejuaraan ragbi Piala Agong edisi ke-42 bertemu Kelantan yang telah berlangsung di Stadium Ragbi Tengku Muhammad Ismail, Kompleks Sukan Negeri Terengganu, kelmarin.

Terengganu kemudian merapatkan kedudukan menerusi sepakan penalti Muhammad Faizal Md Tahir sebelum menambah 10 lagi mata bagi terus memberi tekanan kepada Kelantan.

banner

Bagaimanapun, pasukan pelawat kekal agresif dengan menghasilkan tiga lagi try berserta conversion untuk menutup babak pertama dengan kelebihan selesa 28-13.

Bersambung separuh masa kedua, skuad tuan rumah memperkemaskan corak permainan dan mula menguasai tempo perlawanan sehingga berjaya mendahului 39-36 pada minit ke-63.

Kelebihan itu terus diperkukuhkan menerusi sepakan penalti tambahan selepas pemain import Kelantan, Ratu Etuate Veidreyaki dilayangkan kad kuning, sekali gus menjadikan kedudukan 42-36 memihak kepada Terengganu.

AKSI pemain scrumhalf Terengganu, Mohamad Nasharuddin Ismail (kiri) pada saingan peringkat kumpulan minggu kedua kejuaraan ragbi Piala Agong edisi ke-42 bertemu Kelantan yang telah berlangsung di Stadium Ragbi Tengku Muhammad Ismail, Kompleks Sukan Negeri Terengganu, kelmarin.

Kelantan bagaimanapun tidak mengalah apabila kembali berada di hadapan 43-42 hasil satu try dan conversion ketika perlawanan memasuki minit-minit akhir.

Dalam situasi genting itu, pengalaman bekas kapten kebangsaan, Mohamad Nasharuddin Ismail menjadi pemisah apabila berjaya menyempurnakan sepakan penalti untuk mengembalikan kelebihan kepada Terengganu 45-43.

Menyedari masa permainan semakin suntuk, Terengganu mengubah taktikal dengan mengawal penguasaan bola sepenuhnya bagi mengelakkan asakan Kelantan sehingga wisel penamat ditiupkan.

Kemenangan dramatik itu memberikan suntikan moral terbaik buat Terengganu menjelang aksi menentang juara bertahan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) di PULAPOL, Kuala Lumpur pada 30 Mei ini.

Kelantan pula dijadual meneruskan cabaran bertemu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang hujung minggu depan. – Suara Timur

Tinggalkan komen