Bekas penyerang Terengganu FC, Ivan Mamut akhirnya memecah kebisuan selepas melalui musim penuh kekalutan selepas dibayangi kecederaan serta masalah kewangan di luar padang.
Mamut menegaskan bahawa dia kini lebih bersedia untuk kembali beraksi namun bukan tanpa menyelesaikan beberapa perkara yang tertangguh.
Selepas musim 2023 yang cemerlang ketika dia muncul sebagai penjaring terbanyak Terengganu dengan 23 gol dalam semua perlawanan, harapan tinggi diletakkan ke atas Mamut untuk terus menyinar pada musim 2024.
Namun, kecederaan Achilles yang dialami olehnya menjadi tamparan hebat apabila memaksanya berehat sepanjang musim.
“Kakitangan kelab banyak membantu saya semasa pemulihan, tetapi kesakitan itu amat tidak tertanggung.
“Jadi saya mengambil keputusan untuk berehat dengan satu matlamat iaitu kembali cergas sepenuhnya untuk musim 2025/26,” kata penyerang setinggi 1.92m itu.
Mamut menafikan dakwaan bahawa ketidakhadirannya berpunca daripada kekecewaan terhadap pemergian bekas jurulatih, Tomislav Steinbruckner.
“Ada yang kata saya sihat tapi enggan bermain kerana Steinbruckner sudah tinggalkan Terengganu. Itu tidak benar. Kecederaan Achilles saya ambil masa untuk sembuh dan ia hanya pulih sepenuhnya selepas saya kembali ke Croatia dan menjalani terapi yang betul selepas musim tamat,” ujarnya.
Namun, lebih menyakitkan daripada kecederaan itu, menurut Mamut, ialah kegagalan kelab membayar gajinya.
“Saya masih belum menerima gaji selama lebih sembilan bulan. Saya lihat rakan sepasukan dibayar, tetapi saya diketepikan. Saya tidak pernah bersikap tidak profesional kerana saya ada dokumen, ada kontrak. Ia memang tidak adil,” ujarnya.
Meskipun dia tidak membuat kenyataan secara terbuka terhadap pengurusan kelab, kekecewaan jelas dirasai.
“Saya perlu menjawab kepada keluarga saya. Ia memberi kesan kepada kesihatan mental saya. Saya berdiam diri sebelum ini, tetapi sekarang saya perlu lindungi nama saya.
“Saya juga mahu penyokong Terengganu tahu situasi saya kerana saya tahu mereka hormatkan saya. Jika tiada penyelesaian dicapai dalam masa terdekat, Mamut bersedia membawa perkara ini ke FIFA,” jelasnya.
Apabila ditanya mengenai isu tersebut, Ketua Pegawai Operasi (COO) Terengganu, Mohd Syahrizan Mohd Zain berkata, kontrak Mamut telah tamat pada 30 April dan pihaknya akan menyemak semula perkara tersebut.
“Kami akan teliti dan lihat jika ada urusan yang belum diselesaikan,” kata Syahrizan secara ringkas.
Namun begitu, cinta Mamut terhadap bola sepak Malaysia masih utuh. Meskipun dikaitkan dengan kepulangan ke Eropah, penyerang tinggi lampai itu menegaskan dia sudah 90 peratus pasti akan kekal di Malaysia.
“Saya kini cergas sepenuhnya. Ada beberapa tawaran, dan saya sedang mempertimbangkan. Saya mahu buktikan yang saya mampu jadi antara penyerang terbaik dalam Liga Super,” ujarnya. – The Star