Oleh MUKHATAR A. RAHMAN
KEMAMAN: Sebanyak 2,361 haiwan liar dilaporkan mati dilanggar kenderaan di jalan raya di seluruh negara sejak 2020 hingga kini.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, dalam tempoh tersebut, Pahang menjadi negeri tertinggi merekodkan jumlah kematian haiwan liar akibat kemalangan iaitu 765 ekor, diikuti Perak (478), Kelantan (224), Terengganu (201), dan Negeri Sembilan (187).
“Kalau kita lihat spesies pula, seperti gajah mencatatkan lapan kematian iaitu seekor pada 2020, masing-masing dua ekor pada 2021 dan 2024, dan setakat tahun ini kita telah merekodkan tiga ekor (termasuk kematian anak gajah yang tular semalam).
“Harimau Malaya pun kita tengok ada sedikit peningkatan dengan 2020 hingga 2022 tiada kematian direkodkan tetapi pada 2023 merekodkan satu kematian manakala 2024 sebanyak tiga ekor dan setakat tahun ini ada seekor Harimau Malaya terlibat dengan kematian di atas jalan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Operasi Penguatkuasaan Kenderaan Bermotor di sini hari ini.
Semalam, tular di media sosial gambar dan video seekor anak gajah yang dilanggar terperosok di bawah sebuah lori kontena dan seekor gajah dewasa dipercayai ibunya sedang cuba mengalihkan lori tersebut bagi menyelamatkan anaknya.
Kejadian yang meruntun hati warga maya itu berlaku awal pagi semalam di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli di Perak.
Nik Nazmi berkata, kerajaan telah dan sedang mengambil pelbagai inisiatif bagi membendung masalah kematian haiwan liar termasuk gajah di atas jalan, antaranya menambah peruntukan kepada RM250 juta pada tahun ini bagi membolehkan kerajaan negeri terlibat meningkatkan kawasan hutan simpan.
Selain itu, beliau berkata, kerajaan juga sedang berusaha mewujudkan lebih banyak santuari gajah termasuk di Johor, Pahang, Perak dan Terengganu. – Suara Timur