KUCHING: Kemunculan cahaya pelik di langit Bintulu malam semalam mengejutkan penduduk sekitar bandar gas itu dengan ada yang mengaitkan fenomena luar biasa itu dengan makhluk asing.
Fenomena itu yang berlaku sekitar jam 8.30 malam dilaporkan dapat dilihat jelas di beberapa kawasan termasuk di Tanjung Kidurong, Kampung Jepak dan pusat bandar Bintulu, menarik perhatian penduduk yang teruja merakamkannya menggunakan telefon bimbit.
Sebahagian pengguna media sosial turut berkongsi video serta gambar cahaya itu yang kelihatan seperti tiang bercahaya sehingga mencetuskan pelbagai spekulasi termasuk dakwaan kehadiran kapal angkasa makhluk asing.
Namun begitu, penggemar astronomi, Dr Zurwina Sharkawi, tampil memberikan penjelasan saintifik mengenai fenomena berkenaan yang dikenali sebagai “light pillars” atau tiang cahaya, iaitu satu fenomena optik semula jadi.
Menurut beliau, kemunculan tiang cahaya itu dalam pelbagai bentuk, bergantung kepada lokasi serta persekitaran dan penjelasan mengenai fenomena itu boleh didapati di Google.
Hasil carian mendapati fenomena menarik itu berlaku apabila cahaya dipantulkan oleh kristal ais kecil berbentuk rata yang terapung dalam udara, lazimnya dalam keadaan cuaca yang sejuk atau lembap pada waktu malam.
Kristal ais ini biasanya berbentuk heksagon seperti plat. Apabila cahaya dari sumber seperti lampu jalan atau matahari mengenai kristal itu, ia akan dipantulkan secara menegak, menyebabkan terbentuknya jalur cahaya tegak ke langit.
Fenomena itu boleh berlaku di kawasan bandar yang mempunyai banyak cahaya tiruan serta keadaan atmosfera yang sesuai, termasuk suhu rendah dan kelembapan tinggi yang membolehkan pembentukan kristal ais di udara.
Tiang cahaya itu bukanlah cahaya sebenar yang turun dari langit, sebaliknya hanya kesan pantulan cahaya yang berlaku dalam suasana tertentu dan boleh dijelaskan melalui kajian sains atmosfera.
Justeru, orang ramai dinasihatkan agar tidak panik atau membuat spekulasi yang tidak berasas apabila berdepan dengan kejadian seperti ini kerana maklumat mengenainya boleh diakses dengan mudah menerusi carian internet. – Berita Harian