Negara

KTMB sedia tren khas ke Pantai Timur sempena Aidiladha

KUALA LUMPUR: Tren khas Ekspres Lambaian Aidiladha ke Pantai Timur akan beroperasi dengan dua perkhidmatan bagi memenuhi keperluan rakyat pulang ke kampung sempena Aidiladha yang disambut bulan depan.

Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dalam kenyataan hari ini, berkata sepanjang tempoh perkhidmatan tren khas itu, sebanyak 436 tiket ditawarkan bagi setiap perjalanan menjadikan jumlah keseluruhan 872 tiket.

“Perkhidmatan ini menawarkan tambang sehala bermula RM80 hingga RM95 dengan pilihan koc tempat duduk kelas premier, koc tempat duduk kelas superior, koc tempat tidur kelas superior dan kemudahan koc chillax serta koc cafe.

“Tiket dijual bermula jam 10 pagi esok,” kata kenyataan itu.

Tren khas berkenaan akan memulakan perjalanan pada jam 11 malam 5 Jun dari KL Sentral menuju ke Tumpat, Kelantan dan jam 10.45 malam pada 8 Jun dari Tumpat ke KL Sentral.

Tren akan berhenti di 16 stesen iaitu Bandar Tasik Selatan, Kajang, Seremban, Pulau Sebang, Gemas, Bahau, Mentakab, Jerantut, Kuala Lipis, Gua Musang, Dabong, Kuala Krai, Tanah Merah, Pasir Mas, Wakaf Bharu dan Tumpat.

KTMB berkata, pihaknya akan terus mendukung inisiatif kerajaan memperluas pilihan pengangkutan awam dengan menyediakan tren khas bagi membantu mengurangkan kesesakan di laluan Pantai Timur yang lazimnya padat setiap musim perayaan, sekali gus memudahkan rakyat pulang beraya bersama keluarga dengan selesa dan selamat.

“Perkhidmatan khas ini juga dilihat turut memberi peluang kepada pelancong yang berhasrat mengunjungi lokasi pelancongan di Pantai Timur.

“Selain itu, pengguna dinasihatkan tiba lebih awal di stesen bagi melancarkan proses pemeriksaan keselamatan dan dokumentasi di pintu masuk,” kata kenyataan itu.

Tiket boleh didapati melalui aplikasi KTM Mobile (KITS), laman sesawang rasmi KTMB di www.ktmb.com.my atau di mesin kios KTMB.

Sebarang pertanyaan lanjut, boleh hubungi Pusat Panggilan KTMB di 03-9779 1200 atau melayari platform media sosial rasmi KTMB untuk maklumat terkini. – Berita Harian

Related Posts