Negara

Pemandu lori tidak mengaku salah punca nahas trak FRU

TELUK INTAN: Pemandu lori muatan batu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, pagi ini, atas sembilan pertuduhan menyebabkan kematian sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dalam kemalangan di Jalan Chikus–Sungai Lampam, di sini, Selasa lalu.

Tertuduh, Rudi Zulkarnain Mat Radi, 45, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Nur Hamizah Shaffiuddin selepas kesemua pertuduhan dibacakan secara berasingan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berdasarkan pertuduhan, Rudi didakwa memandu lori jenis Hino bernombor pendaftaran AKL 4674 secara berbahaya kepada orang awam hingga menyebabkan kematian sembilan individu pada jam 9.05 pagi, 13 Mei lalu di KM15, Jalan Sungai Manik, dalam daerah Hilir Perak.

Mangsa yang terkorban ialah S Perumal, 44; Mohd Roslan Abd Rahim, 46; Mohd Pozli Jaudin, 41; Nurit A.K. Pandak, 34; Amiruddin Zabri, 38; Mohamad Hilmi Mohd Azlan, 38; Akmal Muhamad, 35; Damarrulan Abdul Latif, 33; dan Akmal Wafi Annuar, 28.

Timbalan Pendakwa Raya, Izzuddin Fakri Hamdan, mengendalikan pendakwaan manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Francis Sinnappan.

Mahkamah menetapkan jaminan RM6,000 bagi semua pertuduhan dan menetapkan 17 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes. Mahkamah turut membenarkan syarat tambahan yang dimohon pihak pendakwaan.

Terdahulu, sembilan anggota FRU dilaporkan maut selepas lori truk yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori muatan batu di Jalan Chikus–Sungai Lampam, dalam kejadian yang turut menyebabkan lima anggota parah dan empat lagi cedera.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Dr. Bakri Zainal Abidin sebelum ini memaklumkan, pemandu lori terbabit mempunyai enam rekod lampau membabitkan jenayah dan dadah, dan ditahan pada hari kejadian. – Harian Metro

Related Posts