Negara Politik

PRK Ayer Kuning: Calon BN dilihat lebih terkehadapan

KUALA LUMPUR: Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, Dr Mohamad Yusri Bakir dilihat lebih terkehadapan berbanding dua calon lain, setakat minggu pertama tempoh berkempen ketika ini.

Penganalisis politik yang juga Pensyarah Pusat Perdana, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia, Prof Madya Dr Mazlan Ali berkata, calon BN itu disifatkan luar biasa kerana memiliki kelulusan Doktor Falsafah (PhD) selain pernah berkhidmat sebagai pensyarah di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Ipoh.

Beliau berkata, Mohamad Yusri juga mendapat dukungan daripada rakan komponen Kerajaan Madani iaitu Pakatan Harapan (PH) yang turut membantu beliau berkempen.

“Jika kita lihat di Ayer Kuning sekarang ini, jentera BN cukup besar membolehkan calon BN ini mudah dimobilisasikanlah kepada pengundi.

“Sedangkan calon Perikatan Nasional (PN), Abd Muhaimin Malek, saya lihat ada sedikit terpalit dengan isu tauliah yang mana ada Pemuda PH membuat laporan polis. Saya tidak pasti adakah kes berkenaan ada asas atau tidak, tetapi sedikit sebanyak dia mengganggu ‘tempo’ calon PN.

“Sementara calon daripada Parti Sosialis Malaysia (PSM), Bawani KS. Ini parti kecil, jenteranya nampak tidak begitu kuat. Namun secara keseluruhannya saya menilai calon BN berada di hadapan sekarang,” katanya kepada Harian Metro.

Mengulas lanjut, Mazlan berpandangan BN cuba memenangi hati pengundi melalui mesej Kerajaan Madani mampu menawarkan kestabilan politik dan kemakmuran, bukan hanya di peringkat Persekutuan malah di Perak.

“Maka mesejnya adalah penting calon BN ini dikekalkan di kawasan ini dan kita lihat di awal ini, mesej kejayaan pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ditonjolkan. Menyatakan keadaan pemulihan negara, ekonomi yang lebih baik, peluang pelaburan untuk Malaysia yang meningkat dan juga pengiktirafan antarabangsa terhadap Malaysia.

“Sementara dalam kalangan parti pembangkang terutama PN, kita mendengar isu seperti orang Melayu di Kampung Sungai Baru, Kuala Lumpur dihalau, isu kuil, di media sosial pula ada dimainkan isu ini dan juga isu Anwar dengan kes Muhammed Yusoff Rawther.

“Jadi saya berpandangan isu ini bersifat peribadi dan menyentuh 3R (kaum, agama dan raja). Isu 3R ini dimainkan oleh pempengaruh pro pembangkang di media sosial yang banyak menyerang Perdana Menteri dan Kerajaan Madani,” katanya.

Ditanya mengenai BN menyasarkan 18,000 undi pada PRK Ayer Kuning, Mazlan berpandangan sasaran itu terlalu tinggi, namun beliau yakin bahawa majoriti BN akan meningkat berbanding Pilihan Raya Umum ke-15 lalu.

“Pada PRU 2022 lalu, BN menang lima penjuru dengan majoriti 2,213 undi. Saya jangka ia akan meningkat, mungkin boleh mencapai 10,000 pada PRK ini.

“Kenapa saya kata 18,000 undi itu terlalu tinggi? Kerana semasa PRU 2022 dulu BN bertanding secara solo. Kali ini mereka bertanding dengan bergabung dengan PH.

“Ada kemungkinan sedikit sentimen pengundi Melayu yang akan beralih kepada PN kerana mungkin isu DAP yang dibawa, dimainkan mungkin akan boleh mempengaruhi,” katanya.

Beliau berkata, pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2023 menyaksikan BN dan PH bekerjasama, terdapat perubahan sokongan daripada BN kepada PN dan antara sebabnya adalah perkara berkait dengan sentimen DAP yang dimainkan oleh parti pembangkang.

Kekosongan kerusi DUN Ayer Kuning berlaku susulan kematian penyandangnya, Ishsam Shahruddin, 59, selepas rebah ketika menyertai perlawanan bola sepak di Pulau Pinang pada 22 Februari lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh undi awal pada 22 April depan, manakala tarikh mengundi pada 26 April membabitkan 31,897 pengundi berdaftar. – Harian Metro

Related Posts