Negara

Inflasi Malaysia stabil pada 1.5, petunjuk ada penurunan harga barang

PUTRAJAYA:  Indeks Harga Pengguna (CPI) Malaysia pada Februari menunjukkan kadar inflasi kekal stabil pada 1.5 peratus berbanding Vietnam dan Filipina, masing-masing pada 2.9 dan 2.1 peratus sekaligus menunjukkan bahawa prospek dan kadar pertumbuhan di Malaysia adalah lebih baik. 

Walau bagaimanapun, Malaysia masih menghadapi cabaran dari segi kos sara hidup yang agak tinggi berbanding Thailand dan Indonesia namun, tekanan harga beberapa barangan seperti barangan elektronik dan pakaian menunjukkan penurunan sehingga mempengaruhi purata keseluruhan inflasi.

Pakar Ekonomi daripada Universiti Tun Abdul Razak (UniRazak) Prof Emeritus Dr Barjoyai Bardai berkata, kadar inflasi yang kekal rendah pada 1.5 peratus memberi sedikit kelegaan kepada rakyat kerana tidak berlaku kenaikan harga mendadak kepada sesetengah barangan kegunaan harian.

Menurutnya bagaimanapun, kadar inflasi tersebut juga tidak sepenuhnya menunjukkan kestabilan dalam harga barangan keperluan dan perkhidmatan asas di mana peningkatan harga sering berlaku saban tahun.

“Di satu pihak kita merasa syukur kerana inflasi keseluruhan telah menurun, kekal rendah. Tapi di pihak yang lain, kita perlu melihat mana harga barang-barang makanan dan keperluan asas yang terus meningkat kerana kadar inflasi tersebut tidak membayangkan sangat tentang harga barang-barang keperluan asas dan perkhidmatan keperluan asas kerana, kadar inflasi itu membayangkan CPI. Bagaimana untuk menanganinya?

“CPI mengukur apa yang dipanggil purata wajaran harga barang-barang dan perkhidmatan termasuk sewa rumah, kos perbelanjaan pengangkutan, makanan, kesihatan dan lain-lain. Jadi, untuk beberapa kategori, misalnya untuk barang-barang elektronik, untuk pakaian, harganya sebenarnya menurun tetapi untuk makanan, barangan keperluan dan perkhidmatan, harganya meningkat.

“Misalnya, sewa rumah dan pengangkutan agak stabil tetapi harga makanan terus meningkat. Jadi, purata inflasi masih lagi nampak rendah walaupun harga barang-barang makanan meningkat tapi purata inflasi masih nampak rendah,” katanya ketika dihubungi The Malaysia Press.

Jelasnya, kerajaan perlu memberikan pendedahan dan pengetahuan sebenar kepada pengguna bahawa peningkatan harga barang di Malaysia turut berkait dengan keadaan global dan tidak hanya tertumpu pada kadar inflasi tetapi apa yang mempengaruhinya.

“Mengapa barang-barang makanan dan keperluan asas ini meningkat? Kerana secara global, berlaku ‘supply chain disruption’, maknanya ada gangguan dalam pengangkutan, logistik. Ini kerana peperangan di Timur Tengah dan sebagainya dan kerana perubahan cuaca, ada kegagalan tanaman, ada masalah geopolitik iaitu konflik di Ukraine dan sebagainya.

“Jadi kita sebagai pengguna tidak merasai apa yang dipanggil ‘shrink inflation’, ini apa yang dipanggil inflasi khusus untuk barang-barang makanan dan keperluan asas ini. Jadi kita perlu secara jelas menerangkan apa yang berlaku ke atas harga barang berbanding dengan inflasi,” katanya.

Mengulas lanjut katanya, kerajaan menghadapi pelbagai cabaran untuk mengekalkan keadaan ekonomi yang stabil dan mengurangkan kos sara hidup.

“Begitu juga kita menghadapi pendapatan pekerja yang agak ‘stagnant’ tidak meningkat dengan baik beberapa tahun kebelakang dan kita juga menghadapi masalah monopoli, orang tengah ataupun, kartel dan sebagainya yang sebenarnya terus menerus mengeksploitasi pengguna-pengguna kita. 

“Kita juga perlu mengekalkan kawalan harga kita walaupun kita mengamalkan sistem pasaran bebas, kita perlu mengawal harga sebab kalau harga tidak dikawal, orang tengah, kartel akan mengambil peluang untuk mengeksploitasi pengguna.

“Pengguna juga perlu lebih berani dan bijak untuk bertindak balas. Kalau misalnya harga barang meningkat, kita perlu boikot barang untuk sementara  waktu supaya harga barang akan menjadi lebih terkawal,” ujarnya. – TMP

Related Posts