Negara

Eda Ezrin kembali warnai dunia seni minggu depan

KOTA BHARU: Selepas hampir dua minggu meluangkan masa bersama keluarga, penyanyi Eda Ezrin dijangka kembali aktif dalam dunia seni minggu depan.

Kemunculan semula Eda Ezrin akan dimulakan dengan penggambaran video muzik bagi single terbarunya.

Eda Ezrin berkata, beliau menerima banyak tawaran persembahan dari Kuala Lumpur, Johor dan beberapa negeri lain sejak dibebaskan dari Penjara Narathiwat pada 7 Ogos lalu.

Bagaimanapun, katanya, buat masa ini beliau hanya bersedia menerima tawaran persembahan di Kelantan.

“Saya masih belum bersedia untuk bergerak jauh bagi sebarang persembahan, terutamanya di luar Kelantan,” katanya ketika ditemui hari ini.

Temu bual bersama New Straits Times itu adalah penampilan pertama Eda secara bersemuka dengan pihak media selepas pembebasannya.

Selain menghidupkan semula kerjaya nyanyiannya, ibu kepada dua cahaya mata itu turut merancang untuk menceburi bidang perniagaan dengan keizinan suaminya.

“Suami saya akan menemani saya bukan sahaja ketika membuat persembahan, malah turut bersama saya dalam perjalanan perniagaan nanti,” katanya sambil menyusun lirik untuk lagu baharunya.

Eda Ezrin, suami dan empat individu lain dibebaskan dari penjara awal bulan ini selepas ditahan lebih sembilan bulan.

Kesemua mereka ditahan polis Sungai Golok dalam satu serbuan di sebuah hotel pada 1 November tahun lalu. Turut dirampas dalam serbuan itu ialah 6,059 pil Yaba.

Pada Mac lalu, Mahkamah Wilayah Narathiwat membebaskan keenam-enam individu tersebut daripada pertuduhan memiliki pil berkenaan.

Namun begitu, pihak pendakwa raya Thailand memfailkan rayuan dan mahkamah membenarkan penahanan lanjut terhadap Eda Ezrin dan lima yang lain.

Penahanan tambahan selama enam bulan itu bertujuan memberi ruang kepada pendakwa raya untuk mencari saksi dan bukti tambahan bagi menyokong pertuduhan.

Namun sehingga hari terakhir penahanan pada 6 Ogos lalu, pihak pendakwa raya gagal mengemukakan sebarang bukti, sekali gus mendorong mahkamah untuk membebaskan Eda Ezrin, suaminya dan empat rakan mereka. – Berita Harian


Related Posts