Negara

Tetapkan dasar bayar royalti petroleum kepada Kelantan, Terengganu – MP Bachok

SHAH ALAM:  Kerajaan disaran mempertimbangkan suatu ketetapan dasar berkenaan pembayaran royalti petroleum yang lebih khusus kepada Kelantan dan Terengganu.

Ahli Parlimen Bachok, Syahir Sulaiman berkata, ketetapan tersebut berdasarkan perkara termaktub dalam Akta Pembangunan Petroleum 1974 serta perjanjian dipersetujui kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.

“Dalam hal ini, disarankan supaya ketetapan dasar yang sama hendaklah dimasukkan dalam penggubalan RMK13 (Rancangan Malaysia Ke-13) sekurang-kurangnya 50 peratus perbelanjaan pembangunan akan tetap disalurkan kepada enam negeri kurang membangun sepanjang tempoh RMK13 (2026-2030).

“Ketelusan pembayaran royalti petroleum antara Petronas, Kementerian Kewangan dan kerajaan negeri Kelantan, Terengganu penting untuk mengelakkan berlaku situasi terlebih atau terkurang bayar kerana khuatir ada hak negeri termiskin diambil dan dinafi,” katanya menerusi kenyataan pada Selasa.
Sebelum ini Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli pada sidang Dewan Rakyat menyarankan enam negeri termiskin iaitu Sabah, Sarawak, Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis untuk tidak mengharapkan peruntukan daripada kerajaan Persekutuan semata-mata.

Malah beliau berkata, mengecilkan jurang kemiskinan adalah tanggungjawab bersama yang perlu dipikul oleh kerajaan negeri masing-masing supaya dapat menarik pelaburan dan perniagaan.

Dalam pada itu Syahir menegaskan, pengagihan sumber yang adil dan cekap penting bagi merapatkan jurang sosio-ekonomi yang diwarisi sejak merdeka di samping ia perlu ditangani secara bersama antara negeri dan Persekutuan.

“Memetik analogi sebuah keluarga, andai kata ada dalam kalangan anak yang lemah dari segi pembelajaran, sudah tentu anak itu akan diberi lebih tumpuan.

“Apatah lagi jika ada ahli keluarga yang kurang bernasib baik dalam kehidupan, jatuh miskin, bantuan perlu dihulurkan supaya mereka tidak dibiarkan terus ketinggalan.

“Meletakkan sesuatu kena pada tempatnya, itulah prinsip keadilan dan memperuntukkan sesuatu kena pada tempatnya, itulah pendekatan ekonomi bersasar,” ujarnya. – Sinar Harian

Related Posts