Mahkamah dan Jenayah

Suspek kes tikam pelajar perempuan direman 7 hari

PETALING JAYA: Seorang remaja lelaki berusia 14 tahun direman tujuh hari bagi membantu siasatan kes tikam pelajar perempuan berusia 16 tahun di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama di sini.

Majistret, Shahril Anuar Ahmad Mustapha mengeluarkan perintah itu selepas membenarkan permohonan daripada pihak polis.

Suspek yang juga pelajar tingkatan satu, direman sehingga Selasa minggu depan dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Dalam prosiding di Mahkamah Majistret Petaling Jaya, suspek yang memakai baju oren diwakili peguam, Anuar Ezzad.

Suspek bagaimanapun tidak kelihatan di pekarangan mahkamah apabila difahamkan dibawa masuk melalui pintu berlainan bagi tujuan keselamatan.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.10 pagi semalam, mangsa yang berusia 16 tahun ditemui berlumuran darah akibat kecederaan dengan beberapa kesan tikaman pada badan.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat dilaporkan berkata, pihaknya kemudian menahan pelajar lelaki berusia 14 tahun selain merampas dua senjata tajam di lokasi kejadian. – Kosmo

Related Posts