Mahkamah dan Jenayah Negeri

Penjawat awam rugi RM82,196 terperdaya penipuan pelaburan dalam talian

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN: Seorang penjawat awam mengalami kerugian RM82,196  setelah terperdaya dengan penipuan pelaburan dalam talian.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd Razi Rosli berkata, lelaki berusia 41 tahun itu menyertai pelaburan dalam perniagaan pelancongan dalam talian selepas diperkenalkan seorang wanita warganegara Indonesia yang dikenalinya melalui aplikasi Whatsapp.

Menurutnya, mangsa telah membuat tiga  transaksi bermula 10 Julai 2025 hingga 27 Julai 2025 ke tiga (3) akaun bank berbeza dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM82,196.

“Daripada jumlah tersebut, mangsa tidak pernah menerima pulangan, menyebabkan kerugian berjumlah RM82,196.00,” katanya dalam kenyataan akhbar, hari ini.

Beliau memberitahu, mangsa telah membuat laporan pada Bahagian Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman,
semalam.

Katanya, kes disiasat  di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak mudah terpedaya dengan sindiket penipuan dalam talian,” ujarnya. – Suara Timur

Related Posts