Mahkamah dan Jenayah Negara

Pemandu wanita didakwa cuba bunuh penuntut UiTM

KUALA TERENGGANU: Pemandu wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini hari ini atas pertuduhan cubaan membunuh sehingga mendatangkan kecederaan kepada seorang penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun, Oktober tahun lalu.

Tertuduh, Norizan Ismail, 50, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Hassan Abdul Ghani.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan perbuatan cubaan membunuh sehingga menyebabkan kecederaan pada Muhammad Ammar Danish Mohammad Ridhuan, 21, di Jalan Pantai berhadapan UiTM Dungun, Dungun jam 7.35 malam pada 9 Oktober 2024.

Tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 307 (1) Kanun Keseksaan berdepan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan boleh dikenakan denda dan jika perbuatan itu menyebabkan cedera, boleh dipenjara hingga 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Sejurus pengakuan tidak bersalah direkodkan, mahkamah menetapkan 20 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk serahan dokumen.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Khairuddin Idris manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd Shahir Mat Jusoh.

Pada 2 Mac lalu, ibu kepada tiga anak itu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi sama atas pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh tiga penuntut UiTM.

Media sebelum ini melaporkan tiga penuntut UiTM Dungun maut, manakala seorang lagi cedera selepas terbabit dalam kemalangan di hadapan universiti berkenaan.

Dalam kejadian itu, tiga penuntut itu meninggal dunia di lokasi kejadian manakala rakan mereka, Muhammad Ammar Danish cedera. – Berita Harian

Related Posts