Mahkamah dan Jenayah

Mekanik didakwa rogol pelajar tingkatan 1

KUALA TERENGGANU: Mekanik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas pertuduhan merogol pelajar tingkatan satu, pada Mac tahun lalu.

Tertuduh Tuan Muhamad Saufi Nizam Tuan Rusok @ Tuan Yusoff, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli, selepas berdepan dengan satu pertuduhan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa merogol mangsa yang berusia 13 tahun 6 bulan ketika kejadian.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu pada Mac tahun lalu di sebuah rumah di Chendering, Kuala Terengganu, kira-kira jam 3 pagi.

Bagi kesalahan itu tertuduh telah didakwa mengikut seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan dikenakan sebatan jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM15,000 dengan syarat tambahan perlu melapor diri di balai polis setiap sebulan dan tidak mengganggu saksi sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 18 November depan bagi sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Nabihah Hanim Ayim.- Harian Metro

Related Posts