Mahkamah dan Jenayah

Empat lelaki didakwa curi mesin penapis air di masjid

SEREMBAN: Empat individu didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan mencuri mesin penapis air jenama Coway di sebuah masjid di Mantin, Nilai, hujung bulan lalu.

Tertuduh, Mohd Akiq Faiqal Idris, 29, Muhammad Danial Darishan Muhamad Ruduan, 19, Muhammad Syaiful Muhamad, 29, dan Muhammad Zulfikri Sulaiman, 29, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Saiful Sayoti.

Mengikut pertuduhan, mereka secara bersama-sama mencuri sebuah mesin penapis air Coway di dalam Masjid As-Siddiqin, Batang Benar, Mantin jam 8.11 malam, 30 Jun lalu.

Sehubungan itu, tertuduh melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda.

Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Ng Yunn Yiing memohon hukuman paling minimum dengan mengambil kira pengakuan salah tertuduh dan latar belakang mereka.

Mahkamah memutuskan Mohd Akiq, Muhamad Syaiful dan Muhammad Zulfikri dipenjara selama tiga bulan bermula dari tarikh sabitan.

Manakala Muhammad Danial Darishan dibenarkan diikat jamin sebanyak RM1,500 sementara menunggu laporan sosial kerana tertuduh adalah pesalah muda.

Sebutan laporan sosial pada 5 Ogos ini.

Di kamar Mahkamah Majistret berbeza, Mohd Akiq Faiqal, Muhammad Danial Darishan dan Muhammad Zulfikri diperintahkan menjalani hukuman penjara selama tiga bulan selepas mengaku bersalah atas satu lagi pertuduhan.

Mengikut pertuduhan, ketiga-ketiga tertuduh melakukan kesalahan sama di Masjid Kariah Lenggeng, Nilai, kira-kira jam 2.30 petang, 1 Julai lalu.

Majistret Nurul Saqinah Rosli memerintahkan hukuman penjara bermula dari tarikh sabitan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nik Nur Aqilah Syarfa Nik Zaidi dan Muhammad Zul Azrin Zanuddin. – Metro

Related Posts