Mahkamah dan Jenayah

Tipu urus niaga tanah: Permohonan reman usahawan hartanah ditolak

DUNGUN: Mahkamah Majistret di sini hari ini menolak permohonan reman terhadap seorang usahawan hartanah dan adik lelakinya yang disyaki terlibat dalam kes penipuan urus niaga tanah.

Majistret Nur Amira Fatihah Osman memutuskan demikian selepas permohonan reman dibuat pihak polis bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, peguam, Ahmad Adha Amir Yasser yang mewakili kedua-dua suspek, penolakan tersebut disebabkan anak guamnya pernah dipanggil polis untuk memberi keterangan berhubung kes tersebut sebelum ini.

“Anak guam saya juga akan memberi kerjasama baik kepada pihak polis dan bersedia dipanggil di mana-mana ibu pejabat polis (untuk terus membantu siasatan).

“Saya berhujah elemen siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan ini dilihat tidak lengkap kerana wujud perjanjian jual beli dan tanah itu wujud,” katanya ketika ditemui di pekarangan Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Terdahulu usahawan hartanah berusia 38 tahun bersama adik lelakinya berusia 31 tahun yang berpakaian lokap dibawa ke mahkamah tersebut pada pukul 8.40 pagi.

Kosmo! Online kelmarin melaporkan seorang usahawan hartanah ditahan polis bagi membantu siasatan kes penipuan urus niaga tanah.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd. Khairi Khairuddin berkata, penahanan suspek bagi membantu siasatan kes penipuan urus niaga tanah melibatkan seorang pesara guru yang mendakwa telah kerugian RM35,000 pada tahun 2023. – Kosmo

Related Posts