Oleh MOHD LAZIM ENDUT
MARANG: Seorang perempuan warga emas maut dan tiga lagi cedera dalam kebakaran sebuah rumah di Jalan Taman Murni, di sini, pagi ini.
Mangsa yang maut adalah Razaidah Muhamad, 78, manakala anaknya, Halimatun Mat Zain, 49, serta dua cucunya,
Nur Aisyah Najwa Abdull Adi, 23,
Muhammad Nur Hakim Abdull Adi, 18,
terselamat apabila hanya sesak nafas.
Kesemua empat beranak tersebut adalah
orang kurang upaya (OKU) kategori lemban.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Marang, Timbalan Penguasa Bomba, Che Badrul Isham
Che Mohd Noor berkata, Razaidah dipercayai meninggal dunia selepas terperangkap dalam rumah dalam kebakaran kira-kira pukul 4 pagi.
Menurutnya, tiga mangsa yang cedera pula dikejarkan ke hospital untuk menerima rawatan lanjut.
“Kesemua mangsa yang cedera telah berjaya keluar dengan sendiri sebelum ketibaan pasukan bomba di lokasi.
“Rumah tersebut musnah terbakar kira-kira 60 peratus,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Che Badrul Isham berkata, bomba menerima panggilan kebakaran itu pada pukul 4.25 pagi dan anggota tiba bersama jentera tiba di lokasi dua minit kemudian.
Katanya, jarak Balai Bomba Marang dengan lokasi kejadian kira-kira dua kilometer sahaja.
Menurutnya, seramai 17 anggota dari Balai Bomba Marang dan Balai Bomba Kuala Terengganu terlibat dalam memadamkan kebakaran tersebit.
“Kebakaran rumah tersebut dapat dikawal pada pukul 4.37 pagi dan operasi tamat pukul 5.57 pagi,” ujarnya.
Tambahnya, punca kebakaran dan nilai kerugian masih dalam siasatan. – Suara Timur