Mahkamah dan Jenayah

Tiga rumah teres terbakar di Bukit Kuang

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN : Tiga buah rumah teres di Taman Rakyat Bestari, Bukit Kuang di sini, musnah dijilat api dalam kebakaran, malam tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Chukai, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Mohamad Hanif Che Khalid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 10.03 malam.

Menurutnya, seramai 11 anggota bomba dari Balai Bomba Kemaman dan Kijal bergegas ke lokasi kejadian.

“Ketika tiba, api sedang marak dan kita berusaha sedaya upaya memadamkan kebakaran menggunakan air dari pili bomba dan tangki jentera.

ROSMADI Abd Razak bersama isteri Norhayati Abd Rahman dan anaknya, Nur Aisy Aira. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

“Kita mengambil masa kira-kira 30 minit untuk mengawal kebakaran dari merebak ke kediaman lain,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian.

Menurutnya, kesemua mangsa terselamat dan operasi ditamatkan kira-kira pukul 12.14 tengah malam.

“Punca sebenar kejadian dan kerugian dialami mangsa masih dalam siasatan,” katanya.

Sementara itu, salah seorang mangsa, Norhayati Abd Rahman, 41, berkata, dia bergegas menyelamatkan suaminya, Rosmadi Abd Razak, 42, yang merupakan orang kelainan upaya kategori fizikal serta anaknya Nur Aisy Aira, 7, selepas menyedari rumahnya dipenuhi asap tebal.

“Saya dan suami serta anak baru sahaja masuk bilik untuk tidur. Tiba-tiba saya terhidu bau hangit dan terdengar bunyikan seperti percikan api sebelum mendapati bahagian dapur rumah dipenuhi asap.

“Suami saya mengidap saraf dan tidak boleh berjalan seperti biasa. Namun, ketika kejadian, saya pimpin dan paksa suami gagahkan diri untuk melangkah keluar dari rumah kerana bimbang kejadian tidak diingini berlaku,” katanya.

Norhayati yang merupakan seorang tukang cuci berkata, api yang marak menyebabkan dia tidak sempat menyelamatkan harta bendanya.

“Buat masa ini saya terpaksa menumpang rumah adik kerana tidak mampu menyewa kediaman lain. Suami tidak bekerja sejak enam tahun lalu dan hanya saya yang menyara keluarga,” katanya. – Suara Timur

Related Posts