JERLUN: Seorang lelaki berusia 45 tahun ditemui maut dalam keadaan mengerikan selepas ditetak dengan parang oleh adik iparnya dalam kejadian di kawasan sawah di Kampung Pida 3, di sini malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.05 malam itu, mayat mangsa ditemukan dalam keadaan diselaputi lumpur dengan kepala terpisah daripada badan.
Bahagian kepala dijumpai pada jarak kira-kira satu meter dari lokasi badan mangsa.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd. Radzi Abdul Rahim berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam yang memaklumkan berlaku pergaduhan antara dua lelaki.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kita mendapati suspek berusia 38 tahun berada di dalam sebuah bilik rumahnya yang terletak kira-kira 30 meter dari lokasi kejadian.
“Suspek berjaya ditangkap kira-kira pukul 8 malam selepas pihak polis memujuknya selama 15 minit ketika dia masih memegang parang,” katanya di sini hari ini.
Katanya, pemeriksaan ke atas mayat mangsa mendapati terdapat beberapa kesan tetakan selain bahagian kepala yang terpisah daripada badan.
“Kita masih menyiasat motif kejadian dan menasihatkan masyarakat agar tidak menghebohkan atau berkongsi maklumat yang tidak sahih,” ujarnya.
Menurutnya, pihak polis turut merampas sebilah parang sepanjang 30 sentimeter yang digunakan dalam kejadian itu.
Jelasnya, hasil siasatan mendapati mangsa dan suspek yang bekerja sebagai pesawah tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
Tambahnya, mangsa sudah berkahwin dan mempunyai dua anak, manakala suspek masih bujang dengan rumah mereka terletak berhampiran.
“Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah dan suspek akan dibawa ke Mahkamah Alor Setar untuk direman.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya. – Kosmo
