KUALA TERENGGANU: Seorang penjawat awam di sebuah pusat pemulihan dadah di negeri ini ditahan reman setelah disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM6,000 sebagai balasan membawa masuk barang terlarang untuk penghuni pusat berkenaan.
Perintah reman selama enam hari sehingga 7 Mac 2026 terhadap suspek dikeluarkan Majistret Iffah Nabihah Mohd Ishak selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Terengganu di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, pagi tadi.
Suspek wanita berusia lingkungan 30-an itu ditahan bersama seorang lagi suspek lelaki yang juga penjawat awam di tempat kerja sama kira-kira jam 12.30 tengah hari semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Terengganu.
“SPRM Terengganu telah menahan dua penjawat awam pusat pemulihan dadah tersebut berkaitan kes ini bagaimanapun suspek lelaki telah dilepaskan dengan jaminan SPRM hari ini atas faktor kesihatan.
“Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek melakukan perbuatan tersebut secara berasingan antara September 2024 hingga Januari 2025 dengan meminta dan menerima wang rasuah daripada keluarga penghuni pusat pemulihan tersebut,” katanya sumber SPRM.
Beliau berkata, kedua-dua suspek dipercayai menerima wang rasuah melalui transaksi pemindahan wang ke akaun bank peribadi masing-masing serta akaun peribadi pihak ketiga, manakala modus operandi yang digunakan adalah dengan membawa masuk barang terlarang melalui pembekalan makanan tengah hari.
Kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
Sementara itu, Pengarah SPRM Terengganu, Hazrul Shazreen Abd Yazid ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan. – Suara Timur
