Oleh MUKHATAR A. RAHMAN
KEMAMAN: Seorang bapa maut manakala dua anak perempuannya cedera dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 290 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) berhampiran susur keluar Plaza Tol Chukai di sini, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira 6.33 petang itu, mangsa, Rosli Yusuf, 55, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian dalaman badan.
Dua anak mangsa, Auni Ukhratan Basyirah, 15, dan Iliya Markisa Qurrata Aini, 23, pula mengalami kecederaan ringan pada anggota badan dan menerima rawatan lanjut.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd Razi Rosli berkata, siasatan awal mendapati kemalangan melibatkan sebuah lori treler membawa muatan batu bata, sebuah kenderaan pikap jenis Mitsubishi Triton dan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV).

“Lori treler yang berada di lorong kiri dipercayai hilang kawalan sebelum menghimpit kenderaan pikap dipandu mangsa di lorong kanan.
“Akibat kejadian itu, kedua-dua kenderaan terbabit melanggar besi penghadang jalan sebelum terbabas ke laluan bertentangan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata, sebuah SUV yang datang dari arah bertentangan gagal mengelak lalu melanggar bahagian kiri kenderaan pikap berkenaan.

Katanya, lori treler itu kemudiannya terjunam ke dalam gaung sedalam kira-kira tiga meter.
Mohd Razi berkata, ketika kejadian mangsa yang bekerja sebagai penolong juruteknik dalam perjalanan dari Melaka menuju ke Kampung Payoh.
“Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk bedah siasat, manakala dua anaknya dirawat sebagai pesakit luar,” katanya.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – Suara Timur
