DUNGUN: Program Benteng Komuniti 2026 yang dianjurkan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dungun menjadi platform memperkukuh kerjasama antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan masyarakat dalam usaha meningkatkan keselamatan serta mencegah jenayah di kawasan setempat.
Program bertemakan “Bersama Membina Komuniti Selamat, Harmoni dan Sejahtera” yang berlangsung di Balai Raya Kampung Sura Hujung di sini baru-baru ini.
Turut hadir Ketua Polis Daerah Dungun Supt Nik Ab Halim Nik Mat, Timbalan Ketua Polis Daerah DSP Jumaidy Bah Chong Weh.

Memetik kenyataan di Facebook Polis Daerah Dungun, program itu bertujuan memperkukuhkan jaringan kerjasama strategik antara polis dan komuniti menerusi perkongsian maklumat, dialog dua hala serta memperkasa peranan masyarakat sebagai rakan strategik dalam usaha pencegahan jenayah.
Selain itu, penglibatan aktif KRT dan SRS mencerminkan komitmen masyarakat dalam membantu PDRM memelihara keselamatan awam melalui semangat kerjasama, kesepaduan dan tanggungjawab bersama.
Program berkenaan turut memberi penekanan terhadap usaha meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan budaya saling prihatin, membantu antara satu sama lain serta bertindak secara proaktif dalam memastikan keamanan kawasan kejiranan terus terpelihara.
Pendekatan berteraskan komuniti itu diyakini mampu melahirkan masyarakat yang lebih peka terhadap isu keselamatan sekali gus membina benteng sosial yang lebih kukuh bagi mengekang ancaman jenayah.
Penganjuran Program Benteng Komuniti 2026 juga mencerminkan komitmen berterusan PDRM dalam memperkasa pendekatan Community Policing bagi mengukuhkan hubungan erat antara pasukan keselamatan dan masyarakat ke arah mewujudkan persekitaran yang aman, selamat, harmoni serta sejahtera. – Suara Timur
