Negara

Bayi lelaki ditinggalkan tepi jalan tanpa pakaian, tidak berlapik

SUNGAI PETANI – Seorang bayi lelaki ditemui ditinggalkan tanpa pakaian dan sebarang alas berhampiran tepi jalan di Taman Cempaka Indah, Bukit Selambau di sini dalam satu kejadian pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, kaunter aduan Balai Polis Bukit Selambau menerima panggilan pada jam 9.55 pagi berhubung kejadian tersebut.

Menurutnya, seorang penduduk yang sedang menjemur pakaian ketika itu terkejut apabila terdengar bunyi tangisan kuat lalu bertindak mencari punca suara di kawasan sekitar.

“Saksi pertama yang sedang menjemur pakaian di belakang rumah terdengar bunyi tangisan bayi yang kuat lalu mencari di kawasan sekeliling.

“Saksi itu menjerit apabila terlihat bayi tersebut dan jeritan itu didengari jiran-jiran lain yang kemudian datang membantu mengalihkan bayi ke kawasan lebih selamat,” katanya.

Tambah Hanyan, bayi berkenaan telah dibawa ke Unit Kecemasan Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani, untuk pemeriksaan lanjut.


Bagaimanapun, hasil siasatan lanjut berjaya mengesan titisan darah di sekitar tempat kejadian.

“Kita berjaya mengesan seorang perempuan berusia 19 tahun yang disyaki baharu melahirkan anak serta seorang remaja lelaki berusia 17 tahun dipercayai kekasihnya yang juga pelajar sekolah menengah. Kedua-duanya akan direman bagi membantu siasatan,” katanya. – Sinar Harian

Related Posts