Negara

Pahang hapus semua ladang durian haram

KUALA LUMPUR: Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) mengesahkan semua kawasan hutan yang diceroboh dengan pertanian haram bagi penanaman durian berjaya dibersihkan sepenuhnya menerusi Ops Sekat yang berakhir hujung bulan lalu, sejajar dengan pelan tindakan operasi itu yang dijalankan sejak Julai lalu.

Operasi bermula pada 21 Julai lalu memberi tumpuan kepada kawasan hutan yang diceroboh dan ditanam pokok durian pelbagai spesies termasuk Musang King, IOI dan D24 secara tidak sah, terutama di daerah Raub dan sekitarnya.

Pengarah JPNP, Zainuddin Jamaluddin, berkata pembersihan dilakukan dalam beberapa fasa, membabitkan penebangan pokok durian, manakala pokok herba seperti kantan dan tumbuhan kecil lain yang tidak menjejaskan struktur hutan tidak dimusnahkan.

“Setakat ini, semua kawasan yang diceroboh dengan penanaman durian sudah dibersihkan. Proses berjalan lancar tanpa sebarang bantahan penduduk, malah di Kampung Temelian di Raub, mereka yang menanam durian itu sendiri membantu kami.

OPERASI membersihkan pokok durian di sebuah ladang haram di Pahang.

“Ini kerana kita mengedarkan notis pengosongan tanah yang dilakukan penduduk tanpa kebenaran dengan menyatakan pihak yang bersalah boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 32, Akta Perhutanan Negara 1984 dan sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.

“Operasi ini dijalankan hasil kerjasama antara JPNP, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UE) dan Pejabat Tanah.

“Gabungan pelbagai agensi ini menunjukkan kecekapan dalam memastikan proses penguatkuasaan dan pemulihan dilakukan secara menyeluruh,” katanya kepada BH, hari ini.

Ribuan hektar tanah kerajaan ditanam durian

Isu pencerobohan hutan di Pahang mendapat perhatian sejak 2020 apabila ribuan hektar hutan simpan dan tanah kerajaan negeri ditanam durian secara haram oleh pengusaha yang tidak memiliki lesen sah.

BH pada Ogos lalu melaporkan lebih 3,000 pokok durian yang ditanam secara haram dalam kawasan seluas 250 hektar di Hutan Simpan Kekal (HSK) Gunung Benum, Raub, ditebang dalam tempoh 18 hari ‘Operasi Penguatkuasaan Bersepadu Tanaman Durian’ bermula 21 Julai lalu.

Tindakan memusnahkan tanaman durian berusia antara tiga hingga 40 tahun itu dilakukan selepas titah Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang ingin melihat kegiatan menceroboh tanah di Pahang disekat segera.

Baginda juga mahu proses penguatkuasaan tidak dibuat secara bermusim atau sekejap-sekejap, sebaliknya perlu dilaksana secara berterusan bagi memastikan tiada pihak mengambil kesempatan merompak hasil negeri itu.

SALAH sebuah ladang durian yang dibuka secara haram di Pahang.

Rompakan tanah secara terbuka

Pada April lalu, Al-Sultan Abdullah bertitah, 14,494.908 hektar tanah kerajaan negeri diceroboh dan diusahakan secara haram dengan tanaman sawit, getah, durian dan pelbagai hasil bumi, malah lebih malang lagi, sebanyak 5,997.09 hektar HSK juga diceroboh, kononnya atas nama pertanian, tetapi ia adalah perompakan secara terbuka terhadap harta negeri.

Kerajaan Pahang diketuai Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) sebelum ini melancarkan Op Sekat 3.0, iaitu operasi khas membanteras pencerobohan tanah kerajaan dan rizab hutan di Raub, termasuk menebang pokok ditanam secara haram.

Zainuddin berkata, tiada sebarang penentangan dikesan sepanjang proses pembersihan dijalankan, malah kesedaran dalam kalangan masyarakat semakin meningkat terutama selepas insiden air keruh di Loji Rawatan Air (LRA) Kela, yang berpunca daripada kesan pencerobohan hutan dan pembukaan tanah tanpa kawalan.

“Penduduk kini faham tindakan mereka sebelum ini, seperti menebang hutan untuk tanam durian, memberi kesan besar kepada sumber air. Mereka sendiri melihat akibatnya.

“Kini selepas kawasan hutan dibersihkan, kita sedang menumpukan usaha penanaman semula hutan menggunakan spesies tertentu yang bersesuaian dengan tanah di situ seperti meranti, cengal dan keruing,” katanya.

Kawasan projek pertanian sejak 1970-an

Mengulas punca pencerobohan hutan itu, Zainuddin berkata, kawasan berkenaan digunakan untuk projek pertanian sejak 1970-an, sebelum kewujudan Akta Perhutanan Negara 1984.

Beliau berkata, ketika itu, aktiviti penebangan hutan bukan satu kesalahan kerana belum ada dasar jelas mengenai pemeliharaan hutan simpan kekal.

Bagaimanapun, katanya, apabila kawasan itu digazetkan sebagai HSK sekitar awal 1990-an, sebarang aktiviti pertanian di dalamnya menjadi tidak sah mengikut undang-undang.

“Dulu tidak ada akta, jadi mereka bebas buka tanah dan tanam durian, tetapi apabila hutan sudah ada status rasmi, maka undang-undang perlu ditegakkan.

“Sejak itu, kerajaan negeri bertindak tegas mengarahkan pengosongan kawasan pencerobohan, menjalankan operasi penebangan dan kini sedang beralih kepada pemulihan hutan,” katanya.

Zainuddin berkata, pihaknya turut mengesahkan tiada kes pencerobohan semula berlaku di kawasan yang sudah dibersihkan dalam tempoh tiga bulan terakhir ini.

“Ini petanda positif. Mereka mula faham dan akur dengan keputusan kerajaan. Kita akan terus pantau dan pastikan tiada pencerobohan berulang,” katanya. – Berita Harian

Related Posts