Home NegeriDurian Tembaga Bukit Kemuning mampu kembalikan kegemilangan Raja Buah Terengganu

Durian Tembaga Bukit Kemuning mampu kembalikan kegemilangan Raja Buah Terengganu

oleh suara timur

CHUKAI: Durian Tembaga Bukit Kemuning yang berasal dari Bukit Kemuning di Kijal dekat sini, adalah antara durian terbaik di Terengganu dan berpotensi menyaingi pelbagai jenis durian popular dalam pasaran negara seperti Musang King dan Black Thorn.

Pemilik dusun durian, Hassim Ibrahim, 70, berkata isi yang tebal beserta rasa lemak dengan sedikit pahit, berkrim serta mempunyai aroma tersendiri menjadikan buah itu memiliki kelainan berbanding varieti durian lain yang terdapat di negeri ini.

Hassim berkata pokok Durian Tembaga Bukit Kemuning yang berusia lebih 20 tahun di kebunnya itu satu-satunya pokok daripada varieti berkenaan yang masih wujud di Bukit Kemuning, yang mempunyai kira-kira 100 pekebun durian dengan keseluruhan kawasan kebun seluas hampir 150 hektar (370.66 ekar).

“Kebun yang seluas lebih satu hektar (2.471 ekar) ini saya beli enam tahun lepas. Ia turut menempatkan pelbagai jenis durian kampung lain, namun keunikan rasa Durian Tembaga Bukit Kemuning menjadikannya pilihan utama penggemar raja buah,” katanya ketika ditemui di dusunnya di Bukit Kemuning, di sini.

banner

Hassim berkata keunikan dan keenakan rasa durian tersebut menjadikan ia dinobatkan sebagai juara Pertandingan Durian Terbaik bersempena dengan program Jom Chekoh Durian Kijal di Bukit Kemuning baru-baru ini, yang disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Terengganu yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kijal Datuk Razali Idris.

Dia bersyukur kerana hampir kesemua 30 pohon duriannya miliknya termasuk Durian Tembaga Bukit Kemuning berbuah lebat pada musim ini selepas tidak berbuah sejak empat tahun lepas.

Keadaan itu dipercayai hasil penggunaan beberapa jenis baja yang dibekalkan Jabatan Pertanian Negeri Terengganu kepada pekebun durian di kawasan Bukit Kemuning sejak dua tahun kebelakangan ini.

“Walaupun hanya satu pohon, namun pokok Durian Tembaga Bukit Kemuning ini mampu menghasilkan lebih 200 buah sehingga saya dapat menjualnya pada harga RM8.50 sekilogram, dan mendapat permintaan tinggi daripada penggemar durian di kawasan sekitar,” katanya.

Sementara itu, Razali berkata pada era 1980-an dan 1990-an, durian dari Bukit Kemuning cukup terkenal di seluruh negara dan menjadi buruan peminat raja buah itu.

Sehubungan dengan itu, beliau berkata kerajaan negeri mahu mengembalikan kegemilangan durian Bukit Kemuning dengan meminta Jabatan Pertanian Negeri Terengganu menjalankan kajian bagi menghasilkan lebih banyak benih durian berkenaan untuk tujuan pembiakan dan penanaman secara komersial.

“Saya percaya Durian Tembaga Bukit Kemuning mempunyai potensi besar untuk diketengahkan sebagai varieti durian istimewa dari Terengganu.

“Jika usaha pembiakan benih dapat dilaksanakan dengan berkesan, varieti ini bukan sahaja mampu dikembangkan secara lebih meluas, malah berpotensi menjadi produk agropelancongan yang mampu menarik lebih ramai pengunjung ke Bukit Kemuning,” katanya. – Metro

Tinggalkan komen