Negara

Dakwa hospital salah bagi ubat, warga emas sengsara kulit pedih hingga tak boleh pakai baju

SEREMBAN: Seorang lelaki warga emas mendakwa diberi ubat yang salah ketika ditahan di wad sebuah hospital kerajaan di negeri ini pada Mac lalu sehingga mengalami kesan sampingan yang menyebabkan kulit badannya berasa pedih dan miang sepanjang masa.

Menurut Anual Adnan Ibrahim, 63, kesakitan itu menyebabkan dia tidak boleh memakai baju dan terpaksa tidur di lantai setiap malam.

Dia yang menghidap sakit jantung berkata, semuanya bermula selepas dia ditahan di hospital terbabit kerana mengalami sakit dada.

“Pada hari kedua di wad, saya telah diberi ubat cair darah secara drip oleh seorang jururawat.

“Saya ada maklumkan kepada jururawat yang sebelah badan saya mula rasa sakit selepas ubat itu dimasukkan, tapi dia beritahu itu arahan doktor dan saya terpaksa akur,” katanya ditemui Sinar Harian di rumahnya di Sikamat pada Isnin.

Bagaimanapun katanya, pada hari keenam di wad, seorang doktor meminta ubat tersebut dihentikan selepas mendapati ia tidak sesuai untuk pesakit jantung.

Sejak itu kata Anual Adnan, kulit sebelah kiri badannya sakit berterusan sehingga menjejaskan kehidupannya.

“Hidup saya sengsara sekarang. Rasa kulit badan saya ini pedih dan miang, sukar untuk dijelaskan.

“Sebab itulah di rumah, saya memang tak pakai baju langsung dan terpaksa tidur di atas lantai saja kerana tidur di atas tilam membuatkan kulit saya lebih sakit,” katanya.

Jelasnya, jika dilihat dari luaran sememangnya dia kelihatan baik saja kerana tidak nampak apa-apa kesan pada kulitnya, tetapi kesakitan dirasai dari dalam.

Disebabkan itu, dia telah pun membuat laporan polis pada Julai lalu dan aduan menerusi sistem pengurusan aduan awam (SISPAA) kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Saya sudah dipanggil oleh pihak hospital untuk berbincang mengenai perkara ini dan saya juga telah nyatakan mahukan pampasan disebabkan kecuaian yang berlaku.

“Sekarang, saya nak keluar rumah pun susah, hidup saya betul-betul berubah hinggakan sepupu meninggal pun saya tak dapat pergi begitu juga anak saudara kahwin kerana saya sakit nak pakai baju,” katanya.

Selain itu kata Anual Adnan, dia telah cuba membuat rawatan alternatif, tetapi keadaannya masih sama.

Tambahnya, dia kini bercadang mendapatkan khidmat guaman untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap hospital berkenaan.

“Saya tak bohong yang kulit badan saya sangat sakit dan saya mahukan pembelaan untuk kesakitan yang ditanggung yang berpunca daripada kecuaian pihak hospital yang salah beri ubat,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan Negeri Negeri Sembilan, Dr Zuraida Mohamed berkata, pihaknya akan menyemak aduan lelaki terbabit dan siasatan lanjut akan dilakukan.

“Saya difahamkan pesakit sudah membuat aduan melalui SISPAA dan itu adalah prosedur yang betul, tapi buat masa ini saya belum dapat laporan penuh hasil siasatan.

“Setakat ini saya tidak boleh bagi sebarang maklumat lanjut kerana tertakluk kepada polisi dan arahan KKM yang mana sebarang maklum balas perlu melalui pengurusan tertinggi KKM yang akan dikeluarkan Unit Komunikasi Korporat (UKK),” katanya.- Sinar Harian

Related Posts