Mahkamah dan Jenayah

Polis tumpaskan sindiket dadah antarabangsa, rampas cecair vape kokain RM7.2 juta

KUALA LUMPUR: Polis menumpaskan sindiket dadah antarabangsa yang dikesan menyewa unit kondominium untuk membungkus semula cecair mengandungi kokain ke dalam katrij vape, dengan nilai rampasan mencecah nilai RM7.2 juta.

Kegiatan sindiket itu terbongkar selepas polis menahan empat suspek membabitkan tiga warga Singapura dan seorang lelaki tempatan, dalam serbuan di lorong berhampiran sebuah hotel di Ampang Jaya, dekat sini, pada 19 Jun lalu.

Tiga suspek termasuk seorang warga tempatan berusia antara 25 hingga 57 tahun, ditahan ketika berada dalam sebuah kenderaan jenis Toyota Vellfire, manakala seorang lagi lelaki warga Singapura berumur 31 tahun diberkas di lobi hotel.

Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Mat Zani @ Mohd Salahuddin Che Ali, berkata dalam serbuan Op Ironwood itu, polis turut merampas 4,958 katrij berisi cecair disyaki dadah jenis kokain dianggarkan seberat 9,420 mililiter (ml) yang disembunyikan di tempat duduk belakang Toyota Vellfire terbabit.

Beliau berkata, hasil siasatan lanjut mendapati modus operandi sindiket itu ialah menyewa unit kondominium menggunakan Airbnb pada kadar RM300 sehari, untuk melakukan kegiatan pembungkusan semula dadah sebelum mengedarkannya ke luar negara.
“Sindiket itu dipercayai menyewa unit kondominium terbabit sejak Mac lalu.

“Ini adalah kali pertama JSJN merampas dadah jenis kokain dalam bentuk cecair vape. Ia berbeza dengan rampasan sebelum ini yang biasanya membabitkan dadah sintetik seperti syabu.

“Sindiket terbabit dipercayai menggunakan Malaysia sebagai transit sebelum dadah berkenaan dihantar ke luar negara untuk pasaran antarabangsa,” katanya pada sidang media di Bukit Aman, hari ini.

Mat Zani berkata, setiap katrij berkenaan dianggarkan mengandungi sekitar 1.9ml cecair disyaki kokain berdasarkan jumlah rampasan keseluruhan, menjadikannya antara bentuk penyeludupan yang sangat berisiko tinggi.

“Cecair itu dipercayai dimasukkan ke dalam katrij dengan dua kaedah utama, iaitu menggunakan picagari atau corong khas, sebelum ditutup semula dan disusun seolah-olah ia produk vape biasa.

“Pasaran utama dipercayai membabitkan golongan elit kerana harga satu katrij di luar negara boleh mencecah hingga RM1,500 seunit, menjadikannya antara bentuk penyeludupan paling menguntungkan sindiket,” katanya.

Beliau memaklumkan bahawa ketika serbuan dijalankan, kesemua suspek dipercayai dalam proses menghantar bungkusan kotak berisi vape dadah ke luar negara dengan menggunakan perkhidmatan kurier udara.

“Hasil ujian saringan air kencing pula mendapati seorang suspek positif ketamin, manakala dua daripada mereka mempunyai rekod jenayah, termasuk satu kes pengedaran dadah di Singapura yang membawa kepada hukuman penjara pada 2003.

“Seorang suspek warga Singapura berumur 31 tahun dipercayai adalah dalang utama sindiket itu, manakala hasil semakan mendapati suspek warga tempatan berusia 57 tahun mempunyai dua rekod jenayah.

“Ini menunjukkan sindiket itu aktif merentas sempadan dan tidak bergerak secara sendirian,” katanya.

Dalam serbuan itu juga, beliau berkata, JSJN turut menyita barangan bernilai RM2,975 mengikut Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta), menjadikan nilai keseluruhan rampasan dan sitaan berjumlah RM7.296 juta.

Katanya, hasil siasatan awal mendapati kegiatan sindiket itu dipercayai bermula Mac lalu dengan menggunakan jalan darat dari selatan tanah air untuk membawa masuk bekalan sebelum ia disalurkan ke luar negara menggunakan kurier udara.

“Kita sedang mengenal pasti rangkaian dan laluan sebenar sindiket itu, termasuk dari mana bekalan kokain terbabit diperoleh.

“Setakat ini, tiada bukti kukuh menunjukkan ia adalah untuk pasaran tempatan tetapi kemungkinan tetap ada,” katanya.

Mat Zani berkata, kesemua suspek kini direman tujuh hari bermula 20 hingga 26 Jun ini, dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya. – Berita Harian

Related Posts