Oleh MUKHATAR A. RAHMAN
KEMAMAN: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon 2 Terengganu menambah keanggotaan dan jentera bagi memadam kebakaran hutan di Kampung Mak Chili di sini yang memasuki hari keempat, hari ini.
Ketua Zon 2 JBPM Terengganu, Penguasa Kanan Bomba II, Rohaya Jamil berkata,
anggota bomba yang bertugas di lokasi kebakaran ditambahkan kepada 39 anggota pada hari ini berbanding 19 anggota semalam.
Menurutnya, mereka juga dibantu 10 anggota PDRM dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman, dua anggota dari Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan seorang dari Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kemaman.

Katanya, pihak bomba menerima panggilan kebakaran hutan itu pada pukul 3.55 petang, 30 April lalu dan terus mengaktifkan operasi memadam kebakaran di lokasi pada pukul 4.02 petang.
“Jumlah kebakaran keseluruhan seluas 18 hektar dan berjaya dipadamkan sebanyak 11 hektar dan bakinya tujuh hektar disambung hari ini.
“Lokasi kebakaran terletak dua kilometer dari jalan utama dan menghadapi kesukaran akses di kawasam tersebut,” katanya ketika ditemui Suara Timur dilokasi Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) di sini hari ini.


Beliau yang juga komander operasi memberitahu, anggota bertindak dengan menggunakan dua aliran hose 800 kaki, sebuah dividing breaching tiga pancutan, pam angkut air terbuka anggaran 500 meter dari tempat kebakaran bagi kerja-kerja pemadaman baki keluasan.
“Jentera dan aset yang digunakan hari ini seperti portable pump (lima unit), hard suction (11 unit), metal strainer (empat unit), basket Smstrainer (empar unit), delivery hose (26 unit) attacking hose (empat unit), khemah 10X10 (satu unit), dividing breaching (dua unit), nozel (tujuh unit), cuction wrench (dua unit), lori (satu unit), plain nozel (dua unit) dan sebuah jentolak dari Jabatan Pengairan dan Saliran Daerah Kemaman,” tambahnya.
Selain itu, beliau menambah, pihak bomba juga menerima laporan pihak dron dari Jabatan Alam Sekitar (JAS) yang melakukan tinjuan dari udara. – Suara Timur